Penyanyi dan penulis penulis lagu Ismail Izzani kembali menghiasi industri muzik tanah air menerusi single terbaharunya, “ONE ON ONE”.
Diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, lagu ciptaan dan terbitan ALYPH itu menjadi pembuka jalan kepada album penuh Ismail yang dijadualkan dilancarkan tahun ini.
Mengangkat tema cinta sederhana tetapi penuh makna, “ONE ON ONE” mengisahkan keinginan meluangkan masa bersama insan tersayang tanpa gangguan dunia luar.
Ujar Ismail, lagu ini menggambarkan detik berharga apabila hanya dua insan berkongsi ruang, masa dan perasaan sekaligus menjadikan sebuah hubungan lebih bermakna.
“Lagu ini sangat straightforward. Ia tentang seseorang yang kita benar-benar sayang dan bagaimana kita hanya mahu meluangkan masa bersamanya, walaupun hanya untuk seketika.
Bila bersama orang itu, rasa macam dunia berhenti sekejap dan hanya tinggal kita berdua.’’ jelas Ismail.
Walaupun ada yang melihat “ONE ON ONE” sebagai mengembalikan aura lagu-lagu awal Ismail seperti Bidadari, penyanyi berusia 26 tahun itu menjelaskan bahawa fokus utamanya bukan untuk mengulangi kejayaan lalu, sebaliknya memperkenalkan identiti muzik yang lebih matang.
“Saya tak mahu orang membandingkan lagu ini dengan karya-karya saya sebelum ini. Setiap lagu mempunyai cerita dan tempatnya yang tersendiri.
Bagi saya, ‘ONE ON ONE’ adalah permulaan kepada fasa baharu. Ia memberi gambaran tentang vibe dan arah muzik yang saya ingin bawakan menerusi album akan datang.”katanya lagi.
Menurut Ismail, single ini juga mempunyai nilai sentimental kerana menjadi lagu pertama yang dipilih untuk dimuatkan dalam album baharunya.
Berbeza dengan beberapa single yang pernah diterbitkan sebelum ini, “ONE ON ONE” menjadi titik permulaan kepada sebuah projek yang telah lama dirancang bersama pasukannya.
Single ini turut menyaksikan kerjasama sekali lagi antara Ismail dan ALYPH, yang sebelum ini telah menghasilkan beberapa karya bersama.
Namun menurut Ismail, proses kali ini terasa lebih istimewa kerana mereka mempunyai lebih banyak masa untuk membina idea dan menghasilkan lagu secara organik.
“Setiap kali masuk studio dengan ALYPH, kami bukan hanya berbual tentang muzik. Kami banyak berkongsi cerita tentang kehidupan dan perkara-perkara peribadi.
‘ONE ON ONE’ lahir daripada sesi brainstorming kami bersama, dan saya rasa itu yang menjadikan lagu ini lebih dekat dengan diri saya.”ujarnya lagi.






