Tehran: Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas ibu negara Iran pada Isnin, dengan menyasarkan beberapa lokasi utama termasuk tapak milik Pengawal Revolusi dan Penjara Evin.
Ia adalah serangan yang digambarkan paling kuat sejak perang bermula 11 hari lalu.
Serangan itu mencetuskan beberapa letupan kuat di sekitar Tehran.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata tentera negaranya melancarkan serangan dengan ‘kuasa yang belum pernah dilakukan sebelum ini’, sekali gus mencetuskan spekulasi Israel mungkin sedang berusaha untuk menjatuhkan kepimpinan ulama di Iran.
Antara sasaran utama serangan Israel ialah Penjara Evin, yang menurut Katz menempatkan tahanan politik dan penentang rejim, serta pusat arahan pasukan paramilitari Basij dan kemudahan Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Selain itu, Israel turut menyerang tapak nuklear Fordow yang terletak dalam kawasan pergunungan selatan Tehran.
Tentera Israel menjelaskan serangan ke atas Fordow dilakukan bagi menyekat laluan masuk ke tapak itu sehari selepas Amerika Syarikat (AS) turut menyerang dengan bom ‘bunker buster’.
Sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kemudahan nuklearnya, Iran melancarkan peluru berpandu ke arah Israel dan memberi amaran tindakan Amerika Syarikat akan menerima balasan.
Presiden Donald Trump sebelum ini mendakwa serangan udara AS pada Ahad “menghancurkan keupayaan nuklear Iran,”.
Namun beberapa pegawai lain memberi amaran terlalu awal untuk menilai kesan sebenar terhadap program atom republik Islam itu.
Di Israel, siren serangan udara dibunyikan di pelbagai kawasan pada Isnin.
Wartawan AFP melaporkan letupan berlaku di ruang udara Baitulmaqdis manakala penduduk Tel Aviv dilihat melarikan diri.
Pada masa sama, media Iran melaporkan serangan Israel mengenai sistem bekalan elektrik di Tehran, menyebabkan gangguan sementara.
Di Israel pula, syarikat utiliti negara melaporkan kerosakan berhampiran infrastruktur strategik di selatan negara itu, walaupun butiran lanjut tidak didedahkan berikutan sekatan penyiaran yang ditetapkan oleh tentera.
Kementerian Kesihatan Iran melaporkan lebih 400 orang sudah terbunuh akibat serangan Israel sejak konflik bermula, manakala serangan balas Iran ke atas Israel setakat ini meragut 24 nyawa, menurut angka rasmi.
Ketegangan ini turut memberi kesan kepada pasaran global.
Harga minyak melonjak lebih empat peratus awal pagi Isnin sebelum kembali turun pada sebelah petang.
China menggesa Iran dan Israel supaya mengekang konflik daripada merebak, sambil memberi amaran mengenai potensi kesan ekonomi global yang lebih besar.
Ketua Angkatan Tentera Iran, Jeneral Abdolrahim Mousavi, dalam satu kenyataan video yang disiarkan di televisyen negara, menegaskan serangan udara AS tidak akan dibiarkan begitu sahaja.
Beliau memberi amaran Iran akan mengambil tindakan tegas terhadap apa yang disifatkan sebagai kesilapan besar oleh Washington.
Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, menggesa China untuk membantu menghalang Iran daripada menutup Selat Hormuz, laluan strategik yang menjadi saluran kepada hampir satu perlima bekalan minyak global.
© New Straits Times Press (M) Bhd