Baitulmaqdis: Israel mula mengehadkan kemasukan jemaah ke Masjid al-Aqsa, mengikut umur, mulai hari ini.
Untuk itu, Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Khamis memaklumkan, hanya individu berusia lebih 50 tahun dan anak mereka dari Tebing Barat saja dibenarkan memasuki perkarangan masjid berkenaan pada Ramadan ini.
“Jumlah terhad jemaah Islam akan diterima masuk selaras dengan pengaturan tahun lepas bermula pada Jumaat.
“Mereka yang dibenarkan ialah lelaki berumur 55 tahun ke atas, wanita berumur 50 tahun ke atas dan kanak-kanak sehingga umur 12 tahun.
“Mereka juga mesti lulus tapisan keselamatan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, tiada batasan mengenai orang Arab- Israel.
Masjid al-Aqsa terletak di tengah-tengah Kota Lama Baitulmaqdis, di tapak yang dikenali sebagai al-Haram al-Sharif untuk penganut Islam.
Ia di atas bukit yang dikenali dalam kalangan penganut Yahudi sebagai Har ha-Bayit atau Temple Mount.
Orang Islam menganggap tapak itu sebagai yang ketiga paling suci dalam Islam, selepas Makkah dan Madinah.
© New Straits Times Press (M) Bhd