Kuala Lumpur: Kapal Flotila Sumud Global (GSF) akan tetap meneruskan misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza meskipun menerima maklumat Israel berkemungkinan melancarkan serangan ganas terhadap armada itu dalam tempoh 48 jam akan datang.
Ahli Jawatankuasa Pemandu flotila itu, Yasemin Acar, berkata kapal GSF akan belayar tanpa singgah lagi untuk hentian teknikal selepas ini, meskipun berdepan serangan api dari udara yang berlarutan selama beberapa jam, dua malam lalu.
“Dua malam lalu, kami berdepan serangan api dari ruang udara selama beberapa jam serta serangan ke atas GSF, namun kami tahu Israel sedia maklum bahawa kami tidak akan berhenti.
“Kami tidak akan membuat hentian teknikal selepas ini. Kami akan terus belayar ke Gaza untuk menghantar bantuan kemanusiaan,” katanya pada sidang media secara dalam talian di salah sebuah kapal GSF, semalam.
Beliau menegaskan kapal GSF membawa bantuan kemanusiaan dengan ratusan pemerhati hak asasi manusia, peguam, ahli parlimen serta penggiat seni, tanpa sebarang unsur keganasan.
“Misi bantuan itu tetap akan diteruskan walaupun ada pihak tertentu yang meminta ia dihentikan,” katanya.
Sementara itu rakannya dari Palestin, Saif Abukeshek, berkata Israel mengugut semua pihak yang menyertai dalam misi terbabit bahawa mereka akan dipenjarakan dalam tempoh lama, dilayan mengikut undang-undang anti keganasan serta tidak akan dibenarkan menghampiri Gaza.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai butiran ancaman ganas yang diterima itu.
Namun, beliau mengesahkan sepucuk surat yang kongsikan naratif ancaman terhadap GSF, diterima daripada Kementerian Luar Luxembourg.
“Salah satu persoalan lain ialah mengenai maklumat khusus yang kami terima.
“Dari segi maklumat konkrit dan nyata, kami boleh mengesahkan sepucuk surat telah diterima daripada Kementerian Luar Luxembourg yang menjelaskan naratif sama.
“Adalah penting untuk ditegaskan bahawa kami kini sedang meneliti sumber maklumat itu, yang mana Israel sejak beberapa minggu dan berhari-hari lalu menyatakan mereka akan melakukan apa saja untuk menghentikan misi ini.
“Israel mengugut semua pihak dalam misi ini bahawa mereka akan dipenjarakan dalam tempoh lama, dilayan mengikut undang-undang antikeganasan dan tidak akan dibenarkan menghampiri Gaza,” katanya.
Terdahulu, aktivis dari Luxembourg dilaporkan turut menyertai GSF berkenaan.
Dalam serangan dua hari lalu, GSF mendakwa bunyi letupan kedengaran dan objek tidak dikenali dijatuhkan berhampiran kapal mereka ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.
Katanya, letupan itu berlaku kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan, malah sistem komunikasi mereka turut diganggu.
Menurutnya, lebih 15 dron dikesan berlegar pada altitud rendah di atas salah sebuah kapal induk, Alma, selama beberapa jam dengan muncul setiap 10 minit.
Ia dipercayai bertujuan mengumpul risikan serta cubaan menakut-nakutkan flotila berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd