June 14, 2024

Israel tawan semua akses bantuan ke Gaza selepas kuasai Koridor Philadelphi


BANDARAYA GAZA, Palestin – Selepas pengumuman Israel pada Rabu bahawa ia telah menguasai Koridor Philadelphi di sepanjang sempadan Palestin-Mesir, sekatan tentera terhadap semua sempadan Semenanjung Gaza diperketat dan semua akses masuk bantuan telah ditawan.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa langkah itu memutuskan hubungan geografi antara Gaza dengan Mesir, membolehkan pentadbiran Tel Aviv menghalang atau menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Wilayah itu sedang mengalami krisis kemanusiaan terburuk akibat serangan berterusan tentera rejim sejak 7 Okt lepas.

Seramai 2.3 juta rakyat Palestin yang tinggal di Semenanjung Gaza paling terjejas dengan perkembangan itu di mana mereka sudah menghadapi kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan yang teruk akibat sekatan Israel.

Menurut kenyataan Pejabat Media Gaza, rakyat Palestin yang telah kehilangan tempat tinggal beberapa kali dan bergantung kepada bantuan harian, memerlukan lebih tujuh juta sajian makanan setiap hari disebabkan oleh dasar “kebuluran” Israel.

Selain itu, bahan api, ubat-ubatan dan keperluan penting lain mesti dihantar ke wilayah terkepung itu untuk memenuhi keperluan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Bagaimanapun, sekatan ketat Israel terhadap kemasukan bantuan dan penutupan pintu sempadan semakin memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza.

Pada 7 Mei, tentera Israel melancarkan serangan darat ke atas Rafah di selatan Gaza yang menjadi tempat perlindungan bagi penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

Tentera merampas Lintasan Sempadan Rafah di sebelah Palestin antara Gaza dan Mesir, menutup pintu sempadan tersebut.

Situasi itu menjadikan bantuan melalui Rafah atau pemindahan penduduk yang cedera yang memerlukan rawatan di luar Gaza mustahil dilakukan.

Mesir mengisytiharkan bahawa ia tidak akan menerima dasar sudah terjadi Israel dan pemaksaan mereka di Lintasan Sempadan Rafah dan enggan berkoordinasi dengan Israel.

Sementara itu Kaherah menyalahkan Tel Aviv di atas penutupan pintu sempadan dan kemungkinan yang akan memburukkan lagi krisis di Gaza. – BERNAMA-ANADOLU



Source link

OR

Scroll to Top