ISTAF longgarkan peraturan tekong, akhiri kontroversi 60 tahun

ISTAF longgarkan peraturan tekong, akhiri kontroversi 60 tahun


PERSEKUTUAN Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) berhasrat melakukan perubahan terhadap peraturan servis yang melibatkan kedudukan kaki pemain tekong, dalam usaha menyelesaikan isu kontroversi teknikal yang berlarutan sejak lebih enam dekad.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, sudah tiba masanya peraturan servis dikemas kini agar lebih relevan dengan keperluan permainan moden dan adil kepada semua pihak terlibat.

“Isu servis, terutamanya berkaitan kedudukan kaki yang tidak menyepak dalam bulatan servis, telah menimbulkan perbalahan antara pengurus pasukan, jurulatih dan pengadil sejak lebih 60 tahun lalu. Kesannya, pemain menjadi mangsa,” katanya pada Rabu.

Menurut Halim, menerusi cadangan baharu itu, bulatan servis hanya akan dijadikan sebagai penanda permulaan, bukan lagi sempadan yang mengikat posisi kaki sepanjang proses servis dilakukan.

“Tekong dibenarkan mengangkat kaki yang tidak menyepak semasa melakukan servis. Tiada kesalahan dikenakan jika kaki yang tidak menyepak berada di luar bulatan ketika bola disepak,” katanya.

Tambah beliau, tekong juga diberi kebebasan menggunakan mana-mana gaya servis yang sah, tanpa disekat oleh peraturan kedudukan kaki yang ketat seperti sebelum ini.

Cadangan tersebut, jelas Halim, bertujuan memperkasakan lagi keberkesanan dan gaya servis pemain, sekali gus mengurangkan kekeliruan dalam kalangan pengadil dan pemain ketika perlawanan berlangsung.

Dalam menyokong cadangan itu tegas Halim, ISTAF turut mengemukakan statistik yang diperoleh menerusi data sistem Challenge Serve sepanjang beberapa kejohanan utama sejak 2022.

“Sebagai contoh, pada Kejohanan ISTAF Julai 2023, sebanyak 34 cabaran servis direkodkan, mewakili 20.86 peratus daripada jumlah keseluruhan cabaran.

Manakala pada Sukan Asia 2023 di China, sebanyak 19 cabaran servis dikemukakan, iaitu 12.5 peratus daripada keseluruhan cabaran teknikal sepanjang kejohanan,” katanya.

Kata Halim, statistik itu membuktikan peraturan sedia ada mencetuskan kekeliruan serius dan menjejaskan prestasi pemain, sekali gus menuntut pembaharuan segera.

“Kami mahu pemain diberi lebih kebebasan menyesuaikan gaya servis mengikut kekuatan masing-masing, tanpa takut dikenakan penalti teknikal.

Fokus harus diberi kepada kualiti servis, bukan kepada posisi kaki yang menghalang kreativiti pemain,” tegasnya.

Halim menegaskan bahawa tumpuan seharusnya diberikan kepada mutu dan strategi servis, bukannya sekatan kedudukan kaki yang membataskan kebolehan pemain.

“Kami mahu pemain menyesuaikan gaya servis mengikut kekuatan masing-masing tanpa bimbang dikenakan penalti teknikal. Servis harus menjadi senjata utama menjaringkan mata, bukan pencetus kesalahan,” katanya.

Tambahnya, sebelum sebarang perubahan dikuatkuasakan, ISTAF akan mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan termasuk ahli gabungan, jurulatih, pemain dan pengadil.

“Cadangan rasmi akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis ISTAF di Songkhla, Thailand pada 26 Julai ini, yang dijangka dihadiri kira-kira 40 perwakilan dari negara anggota seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Jepun, India, Taiwan, Pakistan, Iran, Iraq, Brunei, Indonesia dan Myanmar,” katanya.

 



Source link

OR

Scroll to Top