London: Nilai kekayaan Hulk Hogan didedahkan selepas berita mengejutkan kematian beliau pada usia 71 tahun.
Ikon gusti, Hulk Hogan meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung di rumahnya di Clearwater, Florida, pada pagi Khamis, waktu Amerika Syarikat.
Bintang sukan itu meninggalkan isterinya, Sky, serta dua anaknya, Nick dan Brooke yang merupakan hasil perkahwinan dengan bekas isteri, Linda Hogan. Beliau juga mempunyai dua cucu, Oliver dan Molly.
Kematian tragis Hogan menyaksikan beliau meninggalkan kekayaan yang besar untuk keluarganya.
Menurut Celebrity Net Worth, pada waktu kematiannya, nilai kekayaan Hogan dianggarkan berjumlah AS$25 juta (RM105.50 juta).
Sebahagian besar kekayaannya datang daripada kerjaya gusti profesional serta pelbagai penampilan dalam rancangan realiti televisyen.
Wrestler ikonik itu melaburkan wangnya dalam beberapa perniagaan dan hartanah di sekitar Florida.
Hogan masih memperoleh pendapatan daripada jualan barangan dan royalti berkaitan jenamanya, Hulk Hogan.
Namun, atlet itu kehilangan jutaan dolar akibat penceraian dengan bekas isterinya, Linda.
Pada waktu itu, dokumen perceraian menunjukkan bahawa nilai bersih kekayaannya adalah sekitar AS$30 juta (RM126 juta).
Hogan terpaksa menyerahkan 70 peratus daripada aset cair pasangan itu, AS$3 juta (Rm12.6 juta) dalam bentuk tunai sebagai penyelesaian harta, serta pegangan 40 peratus secara berterusan dalam pelbagai perniagaannya.
Dalam satu temu bual radio pada tahun 2011, Hogan mengakui bahawa penceraian tersebut hampir menyebabkan beliau muflis.
Linda tidak menerima nafkah namun beliau menerima puluhan juta ringgit selain mendapat hak milik ke atas sebuah Mercedes-Benz, Corvette, dan Cadillac Escalade.
Hogan mengakui bahawa beliau pernah membazirkan “ratusan juta dolar” untuk gaya hidup mewah yang melampau ketika berada di kemuncak kerjayanya pada 1990-an.
© New Straits Times Press (M) Bhd