Isteri masak untuk suami: Wajib, sunat atau ihsan?

Isteri masak untuk suami: Wajib, sunat atau ihsan?


BARU-BARU ini, media sosial hangat memperdebatkan isu sama ada memasak merupakan tugas isteri atau suami.

Ada yang kurang setuju jika dikatakan memasak adalah tugas suami dan begitu jugalah sebaliknya.

Polemik tercetus apabila seorang pempengaruh menyatakan bahawa isteri tidak perlu masak dan jika ia dilakukan, itu hanya atas dasar ihsan kerana tanggungjawab menyediakan makanan adalah milik suami.

Mengulas perkara itu, pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman menjelaskan, isu itu telah lama dibincangkan oleh para ulama.

PU SALMAN

Beliau menjelaskan bahawa menurut kitab Mausu’ah Feqhiah Kuwaitiah, terdapat dua pendapat utama ulama dalam hal itu iaitu:

1. Pendapat kebanyakan ulama iaitu Mazhab Syafie dan Hambali menyatakan, isteri tidak wajib melaksanakan kerja rumah kerana akad perkahwinan adalah untuk pergaulan mesra, bukan untuk menguli tepung, membakar roti, memasak dan seumpamanya.

2. Mazhab Maliki pula berpendapat, isteri wajib melakukan kerja dalaman seperti menguli tepung, menghampar tilam, menuang air dan sebagainya jika ia merupakan adat kebiasaaan setempat, kecuali wanita dari golongan bangsawan.

PU Salman turut menyentuh tentang contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hal itu yang mana Baginda dan isterinya saling berkhidmat dalam rumah tangga.

Beliau kemudian memetik beberapa hadis sahih.

Antaranya dalam satu riwayat: “Rasulullah SAW berkhidmat untuk isterinya. Bila datang waktu solat, Baginda segera solat (meninggalkan kerja rumah).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Dalam riwayat yang lain: “Rasulullah SAW menjahit baju, memperbaiki kasut dan melakukan apa yang orang lelaki buat di rumah.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

TERDAPAT banyak hadis sahih yang menunjukkan para isteri Rasulullah SAW memasak dan menyediakan makanan untuk Baginda. -Foto: CANVA

TERDAPAT banyak hadis sahih yang menunjukkan para isteri Rasulullah SAW memasak dan menyediakan makanan untuk Baginda. -Foto: CANVA

Menerusi hadis riwayat Ibnu Hibban dan Imam Ahmad, Nabi Muhammad SAW melakukan tugas manusia biasa di rumah seperti membersihkan kotoran baju, memerah susu dan berkhidmat untuk dirinya.

“Begitu juga disebutkan dalam sebahagian kitab sunnah antaranya kitab Jamius Shagir, yang mana Nabi Muhammad SAW membasuh bajunya, mengangkat baldi, memberi makan kepada kambing, menyapu sampah dan memperbaiki kasut,” katanya.

Penceramah itu turut menjelaskan, isteri dan puteri Nabi Muhammad SAW juga menunjukkan contoh teladan dalam kerja rumah.

“Sayidatina Aisyah RA misalnya pernah menyikat rambut Nabi dan membersihkan baju Baginda menggosok baju Baginda. Fatimah RA pula pernah mengadu sakit tangan kerana mengisar tepung.

“Selain itu, Asma’ RA juga berkhidmat untuk suaminya, Zubair. Isteri Ummu said pula pernah menyediakan makanan untuk tetamu termasuk Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Meskipun Mazhab Syafie dan jumhur ulama menyatakan isteri tidak wajib memasak, PU Salman menekankan bahawa kaum Hawa sangat digalakkan berkhidmat dalam rumah tangga kerana ganjaran besar yang menanti.

“Isteri amat disunatkan memasak dan berkhidmat untuk keluarga demi meraih pahala yang besar,” ujar beliau.

Ia selari dengan hadis diriwayatkan oleh Asma’ binti Yazid: “Sesungguhnya baik layanan isteri kepada suaminya, dia mengikut kata dan kehendak suaminya akan memperolehi pahala seperti haji, umrah, jihad, solat Jumaat, ziarah orang sakit dan menyaksikan kematian.” (Riwayat Al-Wasiti dalam Tarikh Wasit)

Isteri-Isteri Nabi memasak untuk Baginda

Seiring dengan penjelasan PU Salman, Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi turut tampil menjelaskan bahawa terdapat banyak hadis sahih yang menunjukkan para isteri Rasulullah SAW memasak dan menyediakan makanan untuk Baginda.

DR AHMAD SANUSI

DR AHMAD SANUSI

Beliau berkata, dalam sebuah hadis riwayat Abu Ya’la, Aisyah RA pernah memasak hidangan khazirah (makanan yang diperbuat daripada daging dan tepung) dan menghantarkannya kepada Baginda SAW.

“Selain itu, pembantu Aisyah RA yang bernama Barirah pula menceritakan bagaimana adakalanya Sayidatina Aisyah sampai tertidur ketika menguli makanan untuk ahli keluarganya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Bukan sahaja Aisyah RA, Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, Sayidatina Safiyah juga menyediakan makanan dan menghantarnya kepada Rasulullah SAW.

Malah, Sayidatina Aisyah memuji Safiyah: “Saya tidak pernah melihat seorang pun yang pandai menyediakan makanan seperti Safiyah. Beliau telah menyediakan makanan untuk Rasulullah SAW, lalu mengutuskan makanan itu kepada Baginda.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

MESKIPUN Mazhab Syafie dan jumhur ulama menyatakan isteri tidak wajib memasak, kaum Hawa sangat digalakkan berkhidmat dalam rumah tangga kerana ganjaran besar yang menanti. -Foto: CANVA

MESKIPUN Mazhab Syafie dan jumhur ulama menyatakan isteri tidak wajib memasak, kaum Hawa sangat digalakkan berkhidmat dalam rumah tangga kerana ganjaran besar yang menanti. -Foto: CANVA

“Bukan itu sahaja, Sayidatina Ummu Salamah juga pernah menghantar makanan kepada Rasulullah SAW dan juga untuk para sahabat Baginda.

“Perhatikan bagaimana para ummahatul mukminin menyediakan makanan untuk suami tercinta iaitu Rasulullah SAW dan keluarga nubuwwah ini merupakan teladan terbaik buat diri kita. Andai mereka memasak dan menyediakan makanan untuk suami, mengapa tidak kita?” soalnya.



Source link

OR

Scroll to Top