Penyanyi, Sufian Suhaimi berkongsi berita gembira apabila memaklumkan isterinya, Rania Al-Sadat kini sedang hamil anak pertama mereka.
Sufian, 36, berkata usia kandungan isterinya sudah memasuki trimester ketiga iaitu 35 minggu dan kini hanya menunggu masa untuk bersalin.
“Ya, betul. Saya bakal menjadi seorang bapa. Lepas ini jangan panggil saya baby Pian dah, panggil saya daddy,” katanya berseloroh.
Menurut Sufian, mereka kini berada dalam fasa menunggu hari dengan penuh debar memandangkan tempoh kehamilan sudah mencecah minggu ke-36 dan ke-37.
“Dah lama dah sebenarnya, kita tengah tunggu masa saja. Gender memang kami nak jadikan kejutan. Sekarang pun dah 36, 37 minggu… bila-bila masa sahaja,” katanya.
Sufian berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka ‘Seloka Lebaran 2026’ MVM Rusa pada Isnin.

Berkongsi mengenai persiapan menyambut kelahiran cahaya mata sulung, Sufian berkata kebanyakan keperluan bayi sudah pun disediakan.
“Persiapan barang-barang rasanya dah sedia. Isteri yang lebih teruja memilih, add to cart… saya pula yang check out,” katanya.
Namun, dari segi emosi dan mental, Sufian mengakui masih berasa berdebar memandangkan pengalaman pertama bergelar bapa bukan sesuatu yang mudah.
“Kalau tanya kawan-kawan pun, tak ada yang 100 peratus bersedia bila dapat anak pertama. Jadi saya rasa saya pun sama, tapi secara keseluruhan memang sangat teruja,” katanya.
Tambahnya lagi, dia juga tidak ketinggalan mengikuti kelas antenatal selain mendapatkan tip keibubapaan menerusi media sosial.
“Ada pergi kelas antenatal… dan kalau scroll TikTok pun memang banyak ‘parents tips’. Nama anak pun dah ada beberapa pilihan,” katanya.
Mengulas keadaan isterinya sepanjang tempoh kehamilan, Sufian bersyukur kerana Rania tidak mengalami alahan yang teruk.
“Alhamdulillah, dia sangat kuat. Alahan pun mild saja masa trimester pertama, muntah pun tak banyak. Mengidam pun tak ada sangat sebab kami memang suka makan dan food hunting,” katanya.
Malah, Sufian turut memuji isterinya yang kekal aktif walaupun sedang sarat hamil.
“Walaupun nampak manja dan lembut, sebenarnya dia kuat. Setiap hari lepas Subuh kami cuba berjalan tiga kilometer, brisk walk. Dia yang banyak push saya sebenarnya.
“Sebagai bakal ibu, dia sangat kuat dan saya bersyukur semuanya berjalan lancar tanpa perkara yang merisaukan,” katanya.
Untuk rekod, Sufian dan Rania mendirikan rumah tangga pada 2 Mei 2025.






