Isteri kepada pelakon terkenal, Datuk Remy Ishak, iaitu Ezza Yusof, tampil menjelaskan situasi sebenar di sebalik hantaran terbaharu suaminya yang memaparkan dirinya bersama seorang wanita hasil ciptaan kecerdasan buatan (AI).
Menerusi perkongsian di Threads, Ezza menegaskan perkara itu tidak lebih sekadar gurauan antara mereka sebagai pasangan suami isteri dan berharap orang ramai tidak tersinggung atau salah faham.
“Kami memang bergurau macam ini, jadi jangan ambil hati ya,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Ezza turut memuat naik tangkap layar perbualan yang menunjukkan Remy berkongsi foto berkenaan dengannya. Malah, Ezza yang sudah masak dengan telatah suaminya secara berseloroh menyifatkan tindakan Remy itu sebagai ‘gila’.
Dalam tangkap layar perbualan mesej di WhastApp itu, Remy turut memaklumkan hasratnya untuk memuat naik gambar tersebut di media sosial kerana berasa terhibur dan menganggapnya sebagai bahan gurauan semata-mata.

Terdahulu, aktor filem Qifarah itu menerima kritikan segelintir netizen yang mendakwa tindakannya memuat naik gambar bersama wanita ciptaan AI berkenaan seolah-olah tidak menghormati perasaan isteri.






