Istinjak guna tisu tandas

Istinjak guna tisu tandas


DIHARUSKAN menggunakan tisu untuk beristinjak. Foto Canva

Soalan

Semasa saya ke luar negara, tiada air disediakan di dalam tandas dan saya menggunakan tisu untuk membersihkan najis. Apakah istinjak saya sah untuk solat?

Jawapan

ADA negara yang bukan majoriti Islam tidak menyediakan air untuk digunakan selepas membuang air kecil atau besar. Perkara ini menyukarkan kita yang sudah biasa menggunakan air untuk beristinjak.

Dalam Mazhab Syafie, hukum asal istinjak lebih sempurna apabila menggunakan air, namun para ulama menjelaskan istinjak juga boleh dilakukan menggunakan bahan kesat yang suci dan mampu membersihkan najis.

Imam An-Nawawi menyebutkan para ulama Mazhab Syafie bersepakat harus beristinjak menggunakan batu dan bahan lain.

Maka zaman sekarang, tisu tandas merupakan antara bahan yang boleh digunakan untuk beristinjak dengan syarat ia suci dan bukan najis, ia kering dan mempunyai sifat kesat yang boleh membersihkan najis serta ia bukanlah sesuatu yang dihormati seperti makanan.

Jika najis dapat dibersihkan dengan sempurna menggunakan tisu, maka istinjak tersebut sah.

Bagaimanapun yang paling afdal adalah menggabungkan kedua-duanya iaitu menghilangkan najis menggunakan tisu dan kemudiannya membasuh dengan air.

Ia merupakan cara yang lebih sempurna dan lebih bersih. Namun jika tiada air atau sukar mendapatkan air, maka penggunaan tisu yang memenuhi syarat-syarat istinjak adalah memadai dan sah.

Jika najis yang telah dibersihkan mengikut kaedah yang dibenarkan syarak, maka tidak perlu terus dibelenggu dengan waswas.

Ini kerana Islam merupakan agama yang mudah dan tidak membebankan. Apa yang penting ialah untuk memastikan najis benar-benar hilang mengikut kaedah yang ditetapkan syarak.



Source link

OR

Scroll to Top