Istiqamah dalam perjuangan adalah satu kemenangan

Istiqamah dalam perjuangan adalah satu kemenangan


– Advertisement –

JOHOR BAHRU: Walaupun perjalanan sesuatu perjuangan akan melalui kalah dan menang, namun kekal istiqamah dalam perjuangan sebenarnya adalah satu kemenangan kepada para pejuangnya.

– Advertisement –

Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, atas sebab itu semua pejuang Islam harus kekal istiqamah sama ada ketika menempuh kekalahan atau ketika mengecap kejayaan.

Beliau memetik Surah Al Anfal ayat 9 di mana Allah SWT berfirman yang mafhumnya: “(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Dia perkenankan-Nya bagi kamu, sesungguhnya Aku akan mendatangkan bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”.

“Ayat di atas mengingatkan umat Islam bahawa sesebuah perjuangan itu hanyalah akan mencapai kemenangan dengan izin Allah SWT.

“Kelengkapan jentera serta semangat yang berkobar-kobar merupakan pra-syarat kemenangan, namun kemenangan boleh dicapai hanya dengan izin Allah SWT, Tuhan sekalian alam,” ujarnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Pahat itu berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook PAS Johor sebentar tadi.

Jelas beliau, ayat itu juga mengingatkan umat Islam agar sentiasa memperkukuhkan kebergantungan kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan sama ada ketika susah atau senang, sedikit atau ramai.

Mahupun katanya, dalam keadaan kurang persediaan atau lengkap, agar pengharapan tetap hanya diletakkan kepada Allah SWT di samping usaha dan tawakal yang tinggi.

“Ayat di atas juga sebenarnya memberi semangat dan motivasi kepada jentera dan amilin untuk meletakkan sangkaan yang baik (husnuzon) kepada Allah SWT kerana apa yang ditetapkan oleh Allah SWT pastinya mempunyai hikmah yang besar kepada hamba-Nya.

“Ini akan mempertingkatkan keyakinan mereka bahawa kemenangan tetap akan tercapai apabila tiba waktu yang dijanjikan oleh-Nya,” kata beliau.

Abu Irfan dalam kenyataan itu turut memetik Surah Al-Ahqaf ayat 35 yang mafhumnya: “Maka bersabarlah Engkau (Muhammad) sebagaimana kesabaran rasul-rasul yang memiliki keteguhan hati dan janganlah engkau meminta agar azab disegerakan untuk mereka.

“Pada hari mereka melihat azab yang dijanjikan, mereka merasa seolah-olah mereka tinggal (di dunia) hanya sesaat saja pada siang hari. Tugasmu hanya menyampaikan. Maka tidak ada yang dibinasakan kecuali kaum yang fasik (tidak taat kepada Allah)”.

Jelas beliau ayat tersebut memberikan suntikan semangat kepada mereka yang cintakan kebenaran kerana Allah SWT pastinya akan mengurniakan hamba-Nya dan mematuhi perintah-Nya, mengikut jalan Nabi-Nya dengan kejayaan sama ada di dunia mahupun kejayaan pasti di akhirat.

“Menang dan kalah adat pertandingan, namun istiqamah adalah satu kemenangan. Terus beristiqamah menuju kemenangan dan redha Allah SWT. PRK DUN Mahkota menanti di sana. Siiruu ‘Alaa Barokatillah,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top