Isu Buang Barang Peribadi Tanpa Izin, Peguam Sahkan Dr. Fie Bakal Lapor Polis & Ambil Tindakan Sivil Terhadap Nubhan

Isu Buang Barang Peribadi Tanpa Izin, Peguam Sahkan Dr. Fie Bakal Lapor Polis & Ambil Tindakan Sivil Terhadap Nubhan


Isu membabitkan bekas pasangan selebriti kembali hangat apabila peguam syarie mewakili Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek mengesahkan tindakan sivil bakal diambil terhadap bekas suami anak guamnya, Nubhan, susulan dakwaan pencerobohan kediaman serta pengeluaran barangan tanpa kebenaran.

Memetik laporan Berita Harian, Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata, tindakan itu dibuat selepas anak guamnya didakwa terkejut apabila dimaklumkan barangan peribadi dari rumah yang didiami bersama anak-anak telah dikeluarkan ketika dia berada di luar negara.

Menurutnya, Dr Afifah atau lebih mesra disapa Dr. Fie itu dijangka bakal membuat laporan polis sebaik pulang ke Malaysia, esok, berhubung insiden berkenaan yang didakwa berlaku tanpa sebarang notis atau perintah mahkamah.

“Anak guam saya akan memfailkan tindakan sivil bagi menuntut ganti rugi. Walaupun seseorang itu pemilik rumah atau bekas suami, dia tidak boleh bertindak sesuka hati dengan menceroboh kediaman atau mengeluarkan barangan penghuni tanpa kebenaran,” katanya.

Akberdin menegaskan, ketika kejadian berlaku, prosiding tuntutan harta sepencarian antara kedua-dua pihak masih berjalan, justeru bekas isteri dan anak-anak berhak untuk terus menghuni kediaman berkenaan sehingga keputusan mahkamah dibuat.

“Keutamaan sepatutnya diberikan kepada kebajikan anak-anak. Mereka hendak tinggal di mana sekiranya rumah itu dikosongkan secara tiba-tiba? Sepatutnya bekas isteri dan anak-anak dibenarkan terus menetap di situ sementara menunggu keputusan mahkamah,” katanya.

Mengulas dakwaan pihak terbabit kononnya tindakan itu dilakukan secara berhemah, Akberdin menolak kenyataan tersebut dan menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai jelas melanggar undang-undang.

“Kami boleh mengambil tindakan kerana perbuatan itu didakwa dilakukan tanpa keizinan penghuni dan tanpa perintah mahkamah. Ia bertentangan dengan Seksyen 7 dan 8 Akta Relief Spesifik,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, menerusi perkongsian di Threads, Dr Fie, mendakwa barangan dari rumah yang didiami bersama anak-anak telah dikeluarkan dan dicampakkan keluar tanpa pengetahuannya.

Artikel Berkaitan: Dr. Fie Hilang Sabar, Dakwa Nubhan Campak Barang Peribadi Tanpa Belas Kasihan – “Semudah Itu Awak Buang Saya”

Akberdin turut menjelaskan, berdasarkan peruntukan undang-undang, seseorang tidak boleh memasuki atau mengambil alih harta tak alih walaupun dia adalah pemilik berdaftar, selagi tiada perintah mahkamah.

“Undang-undang turut menetapkan bahawa pengusiran secara paksa tidak dibenarkan walaupun penyewa gagal membayar sewa untuk tempoh yang lama. Prinsip sama terpakai dalam kes ini,” katanya.

Sehubungan itu, Akberdin menyifatkan tindakan Nubhan yang didakwa memasuki rumah ketika Dr Afifah berada di luar negara, mengeluarkan barangan peribadi serta menukar kunci kediaman sebagai satu pelanggaran jelas terhadap undang-undang.

“Walaupun rumah itu atas namanya, dia tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan barang atau menukar kunci. Semua tindakan perlu dibuat melalui saluran undang-undang dan dengan kebenaran mahkamah,” katanya.

Untuk rekod, Nubhan, 39, dan Dr Afifah sah bercerai pada 2 Disember lalu selepas hampir sedekad mendirikan rumah tangga sejak 29 Ogos 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3.

Sumber: Berita Harian



Source link

OR

Scroll to Top