Isu cacatkan saingan Liga-M diharap tidak berulang

Isu cacatkan saingan Liga-M diharap tidak berulang


Jumlah kehadiran penyokong yang semakin berkurangan di stadium diharap tidak berulang pada musim baharu Liga-M.

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) berharap agar pelbagai isu yang sebelum ini mencacatkan kelancaran saingan Liga Malaysia (Liga-M) seperti masalah tunggakan gaji dan penjadualan perlawanan tidak lagi berulang pada musim baharu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd menegaskan, pihaknya akan sedaya upaya cuba menangani masalah yang berlaku dan meminimumkannya demi memastikan mutu serta imej liga dapat ditingkatkan pada masa hadapan.

“Memang menjadi harapan kami agar perkara-perkara yang menjejaskan perjalanan liga seperti isu pembayaran gaji, penjadualan dan penundaan perlawanan tidak lagi berlaku.

“Sudah tentu sasaran kita adalah untuk memastikan sifar masalah seperti ini. Namun, pada masa yang sama, kita maklum keadaan liga macam mana terutama cabaran yang perlu dihadapi seperti keadaan cuaca dan sebagainya.

“Kita di MFL akan cuba sedaya upaya meminimumkan semua perkara ini,” katanya.

Musim lalu, Liga-M tidak terlepas daripada menjadi bahan kritikan susulan jadual perlawanan yang sering berubah pada saat akhir atas pelbagai sebab sehingga menjejaskan kehadiran penonton ke stadium.

Lebih meruncing, isu tunggakan gaji masih menjadi barah dalam bola sepak tempatan apabila beberapa pasukan dilaporkan gagal melunaskan bayaran gaji pemain dan pegawai pasukan, sehingga menyebabkan ada yang memboikot sesi latihan dan enggan beraksi dalam perlawanan liga.

Perkara tersebut bukan sahaja mencemarkan nama baik kelab terbabit, malah turut memberi imej buruk kepada penganjuran Liga-M secara keseluruhan.

 



Source link

OR

Scroll to Top