Isu insentif Liek Hou selesai – Hannah

Isu insentif Liek Hou selesai – Hannah


sukan@hmetro.com.my

Seremban: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan pihaknya sudah menerima penjelasan daripada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berkaitan isu insentif tunai RM60,000 yang dijanjikan oleh MPM kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024, Cheah Liek Hou.

Beliau berkata, MPM akan menunaikan pemberian ganjaran berkenaan kepada atlet terbabit yang dijangka dilakukan dalam masa terdekat.

“Saya difahamkan memang Cheah Liek Hou ada meluahkan rasa kecewa terhadap MPM yang didakwa belum menunaikan janji untuk menyalurkan insentif tunai kepada atlet berkenaan.

“Tetapi saya sudah mendapat penjelasan daripada Majlis Paralimpik Malaysia mengenai perkara ini dan saya difahamkan ganjaran akan tunaikan dalam masa terdekat, malah sudah ada tarikh yang ditetapkan.

“Saya kira apabila sudah ada tarikh yang ditetapkan berkaitan perkara ini ia dianggap selesai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan cek Geran Padanan Sukan berjumlah RM275,000 kepada Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) bagi penganjuran Kejohanan Bola Keranjang Wanita Bawah 16 Tahun Piala Asia 2025 (FIBA U16) di Karisma Arena, di sini, malam ini.

Terdahulu, media hari ini melaporkan Liek Hou dikatakan meluahkan rasa kecewa terhadap Majlis Paralimpik Malaysia kerana sehingga kini masih gagal menunaikan janji untuk menyalurkan insentif tunai RM60,000 kepadanya.

Liek Hou yang memenangi emas acara perseorangan lelaki kategori SU5 (kecacatan fizikal) di Paris, menjelaskan bahawa sudah setahun temasya itu melabuhkan tirainya namun habuan dijanjikan masih belum diterima.

“Sudah setahun Sukan Paralimpik di Paris berlalu tetapi habuan yang dijanjikan tak dapat lagi. Ini macam kena ‘scam’ dengan mereka,” katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Difahamkan isu berkenaan hanya membabitkan MPM dan tidak membabitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Majlis Sukan Negara (MSN).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top