Susulan laporan kes jenayah membabitkan pelajar sekolah semakin membimbangkan, pelakon, pengacara dan penyanyi, Alif Satar tampil bersuara sekali gus bercadang untuk berkongsi pengalamannya bersama banduan yang terpalit dengan isu sama.
Menerusi perkongsian di Threads, Alif memaklumkan, sebelum ini dia pernah berbuka puasa bersama banduan akhir namun, disebabkan mahu menjaga sensitiviti keluarga mangsa, dia mengambil keputusan untuk ‘menyimpan’ video berkenaan.
Bagaimanapun, Alif berpendapat bahawa isu jenayah terutamanya jenayah seksual dalam kalangan pelajar, wajar diberi perhatian serius.
Menurutnya, inilah masa paling tepat untuk berkongsi mesej dan pengajaran kepada masyarakat di luar sana agar perkara sama tidak berulang.
Berkongsi lanjut, Alif turut mengakui bahawa pengalaman ditahan di Penjara Sungai Buloh menjadi antara detik paling menakutkan dan menginsafkan dalam hidupnya.
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata warganet bersetuju dengan inisiatif yang dikongsikan Alif.
Malah, mereka berharap mesej yang ingin disampaikan pengacara popular itu dapat menjadi pengajaran buat pelajar dan ibu bapa agar kes jenayah sebegini tidak lagi dianggap remeh.