Isu Jual Topi Tiruan, Fariz Isqandar Ambil Iktibar – “Perniagaan Lebih Berkat, Hati Rasa Lapang”

Isu Jual Topi Tiruan, Fariz Isqandar Ambil Iktibar – “Perniagaan Lebih Berkat, Hati Rasa Lapang”


Pelakon muda, Fariz Isqandar, mengakui kontroversi membabitkan dirinya menjual topi tiruan jenama tempatan, The Cap City, menjadi pengajaran besar dalam hidupnya.

Fariz atau nama sebenarnya Muhammad Fariz Isqandar Zulkifli, 20, berkata isu berkenaan sedikit sebanyak menjejaskan jualan dan menimbulkan isu kepercayaan dalam kalangan pelanggan di platform TikTok.

“Sehari dua selepas isu itu tular, memang ramai yang kecam. Komen pun bukan main tajam, tapi saya anggap itu teguran. Lepas dua, tiga hari, saya dah tak fikir sangat tentang perkara negatif tu,” katanya.

Menurut aktor drama Budak Tebing yang terkenal menerusi watak Yoyol itu, dia belajar untuk menerima setiap ujian dengan hati terbuka.

“Memang ada kesan pada jualan, tapi bukan sampai teruk sangat. Saya tahu ramai yang hanya dengar cerita, bukan yang betul-betul tengok cara saya berniaga,” katanya.

Fariz juga mengakui insiden itu membuatkan dirinya lebih tenang dan perniagaannya terasa lebih berkat selepas memperbetulkan kesilapan lalu.

“Alhamdulillah, jualan tak merudum pun. Cuma sekarang saya rasa lebih lapang, sebab apa yang saya buat ni lebih berkat.

“Dulu saya terlalu kejar untung sampai lupa batas. Isu ni buka mata saya jangan sampai hobi berniaga berubah jadi ketamakan,” katanya jujur.

Fariz berkata demikian ketika ditemui di sesi fotografi drama terbarunya Cahaya Budak Lorong di Balai Berita, Bangsar pada Rabu.

Tambahnya lagi, pengalaman itu turut menyedarkan dia supaya lebih dekat dengan Tuhan dan tidak leka dengan keselesaan yang dikecapinya.

“Saya anggap semua ini ujian untuk kuatkan saya. Sekarang saya ubah strategi, lebih profesional bila berniaga. Orang pun nampak perubahan tu,” katanya.

Dalam masa sama, Fariz memaklumkan dia kini tidak lagi menjual barangan gred atau tiruan, sebaliknya memberi tumpuan kepada produk bundle dan jualan pukal yang lebih selamat serta halal.

“Saya tak nak sebut panjang soal isu lama. Sekarang saya banyak jual barangan bundle, bail dan produk tanpa jenama besar. Tak ada lagi barang gred. Itu lebih baik dan saya rasa lebih tenang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: Pelakon Lelaki Didakwa Jual Topi ‘The Cap City’ Tiruan, ‘Ketuk’ Pembeli Cecah RM100



Source link

OR

Scroll to Top