am@hmetro.com.my
Shah Alam: Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Isnin ini bagi menyembah maklum berhubung isu penternakan babi di Kuala Langat.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Izham juga akan membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) termasuk langkah proaktif oleh agensi penguatkuasaan agar keselamatan serta kebersihan persekitaran dapat diperkukuhkan tanpa sebarang kompromi.
Katanya, MMKN terdahulu mengambil keputusan supaya syarat pengoperasian industri penternakan babi di Selangor diperketatkan berasaskan keutamaan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab supaya tidak memberikan kesan negatif terhadap sistem saliran.
Beliau berkata, keputusan itu diambil setelah mengambil kira kesemua aspek termasuk pandangan agensi teknikal bagi memuktamadkan isu yang berlarutan belasan tahun.
“Di samping menjaga sensitiviti masyarakat, inisiatif ini amat penting untuk memelihara keadaan kesihatan komuniti, alam sekitar dan sistem saliran serta mengelakkan pencemaran bau supaya industri ini dapat beroperasi secara lebih selamat tanpa memberi kesan sampingan.
“Sebagaimana diperincikan Exco Infrastruktur dan Pertanian melalui sidang media Khamis lalu, langkah ini adalah inisiatif yang lebih tersusun dalam rangka usaha memastikan isu sensitif ini ditangani secara berhemah, menyeluruh, serta berkesan dalam menangani isu alam sekitar.
“Selain turut mengimbangi keperluan komuniti, memperketat aspek kawalan ke arah penyelesaian jangka sederhana dan panjang yang lebih sistematik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Sharafuddin berkenaan isu penternakan babi di Kuala Langat yang dizahirkan melalui kenyataan media baginda, hari ini.
“Mewakili kerajaan negeri menjunjung tinggi kecaknaan, nasihat serta pedoman Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan mendoakan Tuanku terus dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan untuk terus membimbing dan menaungi negeri ini dengan penuh hikmah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






