am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kerajaan negeri masih berbincang bagi membuka semula laluan pintas untuk pejalan kaki ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, selepas ditutup ketika pandemik Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pembukaan semula laluan pintas itu masih belum dapat dibuat kerana berdepan cabaran utama berkaitan isu keselamatan.
“Kita sudah bawa cadangan ke mesyuarat jawatankuasa khas kabinet bagi menangani kesesakan dan kita dapat banyak maklumat bahawa antara isu yang menjadi cabaran utama adalah keselamatan.
“Pada masa ini, kita masih lagi berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan cadangan laluan itu menjadi laluan ketiga untuk masuk ke CIQ masih diteruskan.
“Cuma ada kekangan dari segi keselamatan dan kebanyakan agensi yang jaga keselamatan belum setuju, kami sedang berunding, perbincangan masih berjalan. Harap dalam masa beberapa bulan akan dapat selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Causeway Link Country Garden Danga Bay-JB Sentral, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohamad Fazli diminta mengulas perkembangan cadangan membuka semula laluan pintas atau laluan ketiga bagi pejalan kaki untuk ke CIQ BSI.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya masih dalam peringkat penilaian pelaksanaan Proof of Concept (POC) kod QR bagi laluan bas dan motosikal terlebih dahulu.
Beliau berkata, sekiranya penggunaan kaedah itu lebih berkesan, ia akan diperluaskan ke laluan kereta dan lori.
“Sekarang kita sedang buat POC kod QR di laluan bas dan motosikal, jadi kita nak tengok prestasi kod QR ini dulu, kalau ia lebih laju, sebenarnya ia tidak jadi masalah.
“POC kod QR ini akan tamat bulan ini dan saya sudah berhubung dengan KDN serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) supaya POC ini diperluaskan ke laluan kereta dan lori kerana sekarang hanya bas dan motosikal sahaja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd