syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Ernie Zakri berpendapat kepelbagaian lagu raya baharu pada masa kini tidak seharusnya menjadi ukuran ‘betul atau salah’ dalam sesebuah karya seni.
Menerusi hantaran di Threads, penyanyi lagu Masing Masing itu menyifatkan muzik adalah universal dan setiap pendengar mempunyai citarasa yang berbeza.
Ernie, 34, berkata masyarakat seharusnya menikmati kepelbagaian muzik mengikut kesesuaian jiwa masing-masing tanpa perlu meletakkan sempadan kepada kreativiti pengkarya.
“Lagu raya mana-mana pun okay. Yang sesuai dengan citarasa, nikmati sahaja. Yang tidak ‘feel’, kita cari lagu lain, okay?” tulisnya.
Isteri kepada penyanyi Syamel ini turut mengambil contoh lagu raya popular nyanyian Amy Mastura, ‘Setahun Sekali’ yang pernah dianggap moden pada zamannya, namun tetap diterima baik oleh masyarakat.
“Kalau zaman dahulu, lagu raya Setahun Sekali nyanyian Amy Mastura agak moden jika dibandingkan dengan karya lain. Namun begitu, ia tetap diterima oleh masyarakat ketika itu,” tulisnya.
Menurut Ernie, jika kita mahu mentakrifkan sesuatu itu betul atau salah, ia mungkin menjadi had kepada pengkarya.
Ernie memberi contoh persamaan antara pemilihan muzik dengan pemilihan busana Aidilfitri yang tertakluk kepada selera individu.
“Baju raya kita pun citarasanya lain-lain, apatah lagi muzik. Nikmati sahaja. Raya ini kita bergembira, okay?” tulisnya.
Perkongsian itu mendapat reaksi positif daripada peminat yang rata-ratanya bersetuju bahawa kepelbagaian dalam industri muzik tanah air sebenarnya memeriahkan lagi suasana sambutan Aidilfitri.
© New Straits Times Press (M) Bhd






