Isu laluan Taman Arowana Indah ditutup: MBS perlu kaji impak sebelum buat keputusan

Isu laluan Taman Arowana Indah ditutup: MBS perlu kaji impak sebelum buat keputusan


am@hmetro.com.my

Seremban: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) perlu mendengar pandangan semua pihak dan membuat kajian impak sebelum memuktamadkan sebarang keputusan susulan penutupan laluan di Taman Arowana Indah, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berkata, pihaknya sudah mendengar permasalahan yang dihadapi penduduk Taman Arowana Indah dan Taman Kerisi.

“Saya melihat sendiri dakwaan penduduk bahawa enam hingga tujuh rumah di Taman Arowana Indah berlaku keretakan susulan laluan berkenaan digunakan kenderaan berat dan minta lorong ini ditutup.

“Bagaimanapun, punca keretakan itu sendiri perlu kepakaran untuk dinilai. Saya bukan pakar untuk menentukan punca keretakan rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui.

Beliau yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian berkata, selain aduan keretakan, penduduk mendakwa kenderaan yang melalui lorong taman perumahan itu menyebabkan gangguan.

“Ini bukan laluan utama, ia hanya lorong dalam taman perumahan namun digunakan sebagai jalan pintas menghubungkan Taman Arowana Indah dan Taman Kerisi.

“Jalan ini sempit saja. Apabila ada kenderaan berat lalu dan laluan sempit, ada bunyi hon, gaduh dan bising, ia menyebabkan penduduk terganggu,” katanya.

Beliau berkata, penduduk di empat taman iaitu Taman Kerisi, Mambau, Kerisi Indah dan Koi Tropika pula membantah penutupan jalan itu kerana mengganggu urusan harian mereka.

“Jadi kami dengar masalah dan cara penyelesaian daripada kedua-dua pihak. Ada beberapa cadangan dibentangkan antaranya meletakkan palang dan membuka laluan baharu di rizab jalan.

“Kedua-dua cadangan ini perlu dikaji terlebih dulu oleh MBS. Petang ini saya akan berjumpa lagi dengan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan (J Arul Kumar).

“Ia bagi membincangkan sebarang tindakan memandangkan tempoh percubaan penutupan jalan ini tinggal seminggu saja lagi,” katanya.

Justeru beliau meminta kedua-dua pihak supaya dapat bersabar sementara isu itu diselesaikan dan keputusannya kelak sebaiknya memberi penyelesaian kepada semua.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top