Isu LPG: MCA dakwa berjaya ‘pujuk’ kerajaan

Isu LPG: MCA dakwa berjaya ‘pujuk’ kerajaan


PETALING JAYA: Keputusan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mengenai Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi tanpa perlu permit didakwa menandakan keberkesanan MCA mempengaruhi kerajaan.

Ketua Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Armizan atas keprihatinannya terhadap suara rakyat khususnya golongan yang terkesan dengan pelaksanaan Ops Gasak yang dilancarkan sejak 1 Mei lalu.

Kata beliau, pengumuman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu mengesahkan kebimbangan yang disuarakn oleh MCA sebelum ini.

“Ia juga membuktikan bahawa pendirian kami bukan bermotifkan politik atau tohmahan, tetapi merupakan usaha tulen untuk memperjuangkan kepentingan rakyat, berlandaskan fakta dan realiti semasa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, Armizan dilaporkan berkata, peniaga berskala mikro dan kecil bagi perniagaan jualan makanan dan minuman dibenar menggunakan LPG bagi keperluan premis perniagaan sendiri sementara pindaan kepada peraturan berkaitan dilaksanakan.

Katanya, dalam tempoh pindaan itu, tidak ada tindakan undang-undang diambil kepada golongan peniaga itu.

Choo Seong berkata, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Naib Presidennya, Datuk Lawrence Low merupakan antara yang terawal membangkitkan ketidakkonsisten mengenai keputusan serta tindakan diambil dalam isu LPG.

Video penjelasan mereka mengenai isu ini telah tular dan meraih hampir dua juta tontonan. 

“Hasil daripada usaha berterusan mereka serta dedikasi para pemimpin dan ahli akar umbi bersama sokongan padu daripada orang ramai, KPDN akhirnya mengambil keputusan yang tepat untuk menyemak semula pendekatannya.

“Kelulusan kepada peniaga makanan kecil untuk terus menggunakan LPG bersubsidi mengurangkan beban ramai pihak dan mengelakkan kenaikan harga lebih teruk dalam suasana ekonomi global yang mencabar dan langkah rasionalisasi subsidi sedang berjalan,” jelasnya.

Tambahnya, KPDN perlu segera mengeluarkan garis panduan yang jelas dan terperinci terutamanya dalam mentakrifkan maksud sebenar perniagaan makanan dan minuman berskala mikro atau kecil.

“Penjelasan ini penting bagi mengelakkan kekeliruan yang berterusan, baik di pihak peniaga mahupun pegawai penguat kuasa,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top