Isu pemandu Grab dipukul: PM Anwar nafi siasatan ditutup

Isu pemandu Grab dipukul: PM Anwar nafi siasatan ditutup


Puchong: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan pihak polis menutup siasatan mengenai kes seorang pemandu e-hailing Orang Kurang Upaya (OKU) yang didakwa dipukul pengiring kenamaan.

Beliau berkata, orang ramai perlu memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan yang mungkin akan mengambil sedikit masa.

“Siapa kata kes tutup? Kes ini memang jadi perhatian, saya juga secara peribadi ambil berat mengenainya, termasuk hal-hal lain yang membabitkan orang biasa. Biarkan polis siasat, berpuas hati dengan siasatan, baru kita ambil tindakan, jangan kita hukum berdasarkan persepsi dan khabar angin.

“Kita sebuah negara yang mengamalkan hukum, segala tindakan mesti berlandaskan fakta, bukti yang jelas. Setelah selesai polis siasat, kes akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk putuskan mana-mana pihak didakwa atau tidak, dan ini semuanya mesti berdasarkan fakta,” katanya ketika ditemui pemberita usai menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam di sini, hari ini.

Awal bulan ini, media melaporkan hampir 200 individu mewakili kumpulan OKU, aktivis dan badan bukan kerajaan, serta pekerja e-hailing menggesa campur tangan Perdana Menteri selepas mendakwa tiada tindakan terhadap pihak yang mengarahkan pemandu, Ong Ing Keong menarik balik laporannya.

Wakil kumpulan itu turut memaklumkan bahawa mereka telah menyerahkan memorandum kepada seorang pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri, yang memberi jaminan isu ini mendapat perhatian Anwar.

Ong, 48 tahun, mendakwa dirinya dipukul seorang pegawai juruiring rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel di ibu negara pada Mei lalu, atas alasan menghalang laluan rombongan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top