am@hmetro.com.my
Kuala Krai: Pemilikan tanah, struktur bangunan dan modul pengajian antara kemungkinan faktor yang menyebabkan masih banyak pondok di negara ini masih tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, kegagalan pondok berkenaan tidak berdaftar menyebabkan bantuan daripada kerajaan tidak akan disalurkan.
Sedangkan katanya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta kepada institusi pendidikan agama termasuk pondok dan tahfiz pada tahun ini.
“Banyak kemungkinan yang menyebabkan mereka tidak berdaftar termasuk isu pemilikan tanah dan struktur bangunan yang tidak mencapai piawaian bomba.
“Selain itu mungkin juga mereka mahukan modul pengajian yang tersendiri tanpa terikat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Ini kerana bagi pondok yang berdaftar, kita akan memantau modul pengajian setiap pondok berkenaan.
“Namun saya menyeru dan mengajak institusi pondok yang belum berdaftar supaya tampil untuk berdaftar.
“Ini kerana kita mahu pastikan pondok berkenaan diselenggara dengan baik selain mendapat bantuan daripada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Wacana Dakwah: Al Falah Memacu Ummah Madani Bersama Institusi Pondok di Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian di sini, hari ini.
Menurutnya, pendaftaran setiap pondok itu penting terutama dari aspek keselamatan kerana kita tidak mahu kejadian kebakaran seperti di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu berulang.
© New Straits Times Press (M) Bhd