saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemberian pencen kepada atlet yang pernah memegang status juara dunia akan membabitkan impak kewangan yang besar kepada Majlis Sukan Negara (MSN) sekiranya kerajaan mahu melaksanakannya.
Justeru, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kajian lebih terperinci sedang dilakukan ketika ini oleh MSN berhubung perkara itu.
“Sebab itulah MSN sedang mengkaji (pelaksanaan pemberian pencen kepada juara dunia). Kita perlu lakukan secara berperingkat kerana semua tindakan yang nak dilakukan ini akan beri impak kewangan kepada MSN.
“Yang paling penting tahun ini kita sudah beri KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Pekerja dan Sosial) bagi atlet di bawah Program Podium tetapi ada juga permintaan daripada atlet pelapis.
“Kemudian kita ada (pemberian) pencen (untuk pemenang pingat Olimpik) dan ada juga luahan Olimpian yang pernah beraksi di Olimpik. Jadi semua ini menyaksikan kerajaan mempunyai banyak tanggungan,” katanya.
Beliau berkata demikian hari ini selepas menyaksikan sesi latihan pasukan hoki veteran negara yang akan beraksi di Piala Dunia Hoki Master 2024.
Pada Piala Dunia tahun ini, pasukan Malaysia bagi kategori 40-an dan 60-an akan bermain di Cape Town, Afrika Selatan dari 12 hingga 21 Oktober manakala kategori yang lain akan beraksi di Auckland, New Zealand.
Ditanya adakah pemberian pencen itu akan lebih selektif sekiranya ia dilaksanakan pada masa depan, Hannah tidak menolak langkah berkenaan.
“Banyak sukan yang ada kejohanan dunia dan sebab itu skalanya (kualiti) agak berbeza. Bukan kita tak nak bantu atau bukan kita tak nak bagi pengiktirafan kepada atlet yang muncul juara dunia, tetapi seperti saya katakan, ia satu tanggungan besar kepada MSN.
“Untuk program sedia ada pun kita sukar mencari wang. Sebab kita selalu nak buat penambahbaikan supaya banyak lagi pihak korporat bila mereka lihat ada penambahbaikan, mereka rasa nak taja,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan ekslusif Arena Metro luahan beberapa atlet negara walaupun bergelar juara dunia lebih daripada sekali namun keringat mereka yang mencapai tahap tertinggi itu dipandang sepi, malah tidak dihargai terutamanya selepas bersara daripada sukan masing-masing.
Situasi itu dikongsi atlet bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah yang menyatakan gelaran ‘Sang Juara Dunia’ sebenarnya tidak membawa sebarang pengertian selain bukannya menjanjikan imbuhan lumayan seperti pemenang pingat di temasya Olimpik.
Ini kerana, walaupun sudah memenangi gelaran juara dunia beberapa kali, namun mereka tetap tidak mendapat imbuhan pencen seperti pemenang pingat di Sukan Olimpik.
Namun ramai pihak menyokong pelaksaan pemberian pencen, antaranya adalah Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang berkata pemberian pencen mampu mendorong atlet bekerja lebih kuat selain dapat meningkatkan kualiti atlet negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd