Isu penjaja belon: Muhammad Za'imuddin berisiko lumpuh – Doktor

Isu penjaja belon: Muhammad Za'imuddin berisiko lumpuh – Doktor



surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Muhammad Za’imuddin Azlan berisiko lumpuh kekal selepas saraf tulang belakang toraks T12 cedera teruk akibat dihempap dan dicederakan dalam insiden kekecohan dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, pada 28 Mac lalu.

Pegawai perubatan swasta, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran yang mengiringi Muhammad Za’imuddin berkata, lelaki itu boleh lumpuh secara kekal dan ketika ini perlu rehat dan tidak melakukan kerja berat dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

“Hasil laporan perubatan ini menunjukkan ‘T12 kemek’ atau compressed, banyak komplikasi dan yang paling kita risau sekali, dia mula rasa kebas dan pesakit tidak dapat mengawal kencing.

“Dan komplikasi yang kita tak nak berlaku adalah risiko lumpuh. Kita berdoa dalam tempoh tiga hingga enam bulan, dia kembali pulih,” katanya dalam sidang media selepas Abang Belon selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Dalam sidang media itu, Muhammad Za’imuddin, 29, ditemani ibunya, Hasnah Mat Isa, dan peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Menurutnya, sepatutnya pada 18 April ini, Muhammad Za’imuddin perlu menjalani pembedahan hernia di skrotum yang sudah membesar.

“Bagaimanapun, akibat kejadian ini, pembedahan itu terpaksa ditangguhkan dan kini fokus rawatan adalah tulang belakang T12 yang tidak boleh bergerak terlalu banyak.

“Jika ditanya skala kesakitan daripada satu hingga 10, Muhammad Za’imuddin boleh katakan skala pada lapan hingga sembilan, memang sakit kerana ia membabitkan saraf di kiri dan kanan,” katanya.

Dr Mohd Hafidz berkata, dalam nota discaj Muhammad Za’imuddin juga dikepilkan salinan sijil cuti sakit selama 48 hari.

“Dalam tempoh itu, dia tidak boleh bergerak dan semestinya tidak boleh menjual belon lagi,” katanya.

Sementara itu, Hasnah Mat Isa, 54, ibu kepada Muhammad Za’imuddin, terkilan dengan kejadian yang berlaku terhadap anak kedua daripada tiga beradik itu.

“Anak saya hanya mencari rezeki yang halal, tidak patut dia diperlakukan kejam sebegini. Kami akan teruskan ambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan DBKL,” katanya.

Ditanya bagaimana dia mengetahui kejadian itu, dia melihat video yang tular di media sosial dan terkejut diberitahu itu anak lelakinya.

“Saya terus menghubungi suami dan diberitahu itu memang anak kami. Saya sedih kerana sepatutnya anak perlu menjalani pembedahan hernia dan mencari wang untuk membiayai kos rawatan itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top