Isu penyewa PPR di bawah MBI culas bayar sewa belum kritikal

Isu penyewa PPR di bawah MBI culas bayar sewa belum kritikal



am@hmetro.com.my

Ipoh: Isu penyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR), di sini, culas membayar sewa disifatkan tidak kritikal sehingga memerlukan tindakan tegas dibuat seperti mencabut pintu dan sebagainya.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, setakat ini terdapat tunggakan sewa lebih RM200,000 membabitkan 3,000 unit PPR di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Menurutnya, penyewa PPR di bawah MBI disifatkan tidak ‘tegar’ atau culas membayar sewa.

“Isu itu tidak kritikal sangat, sebab itu setakat ini tiada penguatkuasan yang sampai begitu (cabut pintu). Walaupun memang ada yang culas, tetapi minimum, kita boleh tangani.

“Maknanya, kalau kita minta dia bayar secara ansuran atau secara kaedah pembayaran sedikit berlainan, mereka (penyewa) akan bayar,” katanya.

Rumaizi berkata demikian selepas menyempurnakan Sesi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI Tahun 2025, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan penguatkuasaan MBI ke atas penyewa PPR yang culas membayar sewa hingga tindakan penguatkuasaan tegas diambil seperti dilakukan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Semalam, media melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengulas tindakan MBS mencabut enam pintu rumah penyewa PPR Lobak di Seremban kerana didapati gagal menjelaskan tunggakan sehingga ada yang mencecah RM34,000.

Rumaizi berkata, MBI akan berunding dengan penyewa yang didapati culas membayar sewa bagi tempoh enam bulan dengan menawarkan penstrukturan semula kaedah pembayaran tunggakan sewa.

“Enam bulan (culas sewa) itu disifatkan sudah lama. Tapi kita berunding balik dan kebanyakan mereka sanggup bayar secara ansuran, mungkin bayar lebih RM50 sebulan berbanding kadar asal.

“Kebanyakan yang tertunggak ini berpunca sejak penularan Covid-19 di mana ramai penyewa adalah kalangan peniaga kecil yang tidak dapat berniaga sewaktu itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR