Isu sijil halal: Kasihan Pemuda UMNO, tidak pernah dapat apa yang diperjuangkan – Annuar

Isu sijil halal: Kasihan Pemuda UMNO, tidak pernah dapat apa yang diperjuangkan – Annuar


KLUANG – Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa melahirkan rasa kasihan terhadap Pemuda UMNO yang disifatkan tidak pernah berjaya melaksanakan apa yang diperjuangkan pergerakan itu.

Beliau merujuk kepada kontroversi isu pensijilan halal yang mencetuskan pertelingkahan antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dengan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.

Dakwa beliau, Pemuda UMNO dalam isu itu sekadar `menyalak’ tetapi diam atau hilang begitu sahaja apabila ditepuk belakang oleh `tuannya’.

“Apa yang penting Pemuda UMNO (dalam isu sijil halal) tidak ada `finishing’ (penyudah). Kalau perkara berkait dasar, sepatutnya perjuangkan sampai habis, bukan sekadar berjuang untuk tunjuk garang, tetapi akhirnya tidak sampai ke mana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah kelompok Perikatan Nasional (PN) di Kampung Melayu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh tidak bersetuju dengan tindakan Dr. Muhamad Akmal menggelar Teresa `nyonya tua’ dan membuat kenyataan mahu menampal sijil halal di muka pemimpin DAP berkenaan yang disifatkan sebagai politik peribadi yang didorong oleh rasa kebencian.

Tambahnya, kenyataan Dr. Muhamad Akmal itu mungkin boleh memperlihatkan keberanian Ketua Pemuda UMNO berkenaan, namun keberanian orang politik seharusnya berlandaskan kebijaksanaan.

Tegasnya, keberanian yang membuta tuli, kasar dan totok hanya akan menghilangkan rasa hormat terhadap Dr. Muhamad Akmal dan masyarakat Cina sewajarnya terasa hati dengan tindakan Ketua Pemuda UMNO terbabit.

“Benda yang kita tidak setuju kita boleh nyatakan tidak bersetuju dengan sekeras-keras bahasa, tapi jangan menyentuh peribadi seseorang.

“Setiap orang sepatutnya menghormati orang lain, kenapa harus memangil `nyonya tua’. Itu bukan bahasa Parlimen, bukan bahasa orang politik yang bagus,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan Dr. Muhamad Akmal yang mana Islam sendiri melarang memanggil dan memberikan gelaran atau nama buruk kepada individu lain.

“Mahu tidak mahu, (kena ingat) Teresa ialah Ahli Parlimen, beliau merupakan pemimpin politik yang diundi oleh rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Dr. Muhamad Akmal menerusi video di laman sosial melabelkan Teresa sebagai ‘nyonya tua’ selain mahu menampal logo tidak halal pada dahi pemimpin DAP berkenaan.

Ia susulan kenyataan Teresa yang mana cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban kepada peniaga.

Ekoran itu juga, Teresa menuntut ganti rugi sebanyak RM25 juta daripada Dr. Muhamad Akmal selepas mendakwa Ketua Pemuda UMNO berkenaan memutar belit kenyataannya mengenai isu terbabit. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top