Dari kiri: Irazabal, Figueiredo dan Haval sudah kembali menjalani latihan bersama skuad Harimau Selatan. – Foto Johor Southern Tigers
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz mengakui belum memuktamadkan keputusan menurunkan tiga pemain warisan Harimau Malaya pada aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) yang akan berdepan Shan United FC, petang Khamis.
Mereka ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Menurut Munoz, biarpun menyambut baik keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang menangguhkan seketika penggantungan 12 bulan yang dikenakan ke atas tujuh pemain warisan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September lalu.
Namun, beliau perlu melihat sendiri secara dekat mengenai prestasi terkini ketiga-tiga pemain berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan.
“Ya, walaupun mereka sudah kembali menjalani latihan, tetapi saya perlu lihat prestasi terkini mereka dengan lebih dekat sebelum memutuskan sama ada mereka akan membarisi kesebelasan utama atau bermula dari bangku simpanan.
“Setelah berehat panjang dan tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan kompetitif, sudah pasti mereka mahu mencari ‘rentak’ untuk kembali beraksi.
“Kita juga tidak mahu memberikan ‘tekanan’ kepada mereka. Lagi pun ketiga-tiganya merupakan pemain yang berkualiti dan keadaan seperti ini bukanlah sesuatu yang besar buat mereka,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan pada Rabu.
Untuk rekod, JDT sekadar terikat 2-2 ketika bedepan kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC pada Disember lalu dan kini berada pada kedudukan kedua dengan tujuh mata, hasil dua kemenangan dan seri sekali setelah mengharungi tiga perlawanan setakat ini.
Sementara itu, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Manuel Hidalgo bertekad memberikan aksi terbaik bagi memastikan kemenangan menjadi milik skuad Harimau Selatan itu.
Katanya, kejayaan mengutip tiga mata amat penting bagi membantu skuad Harimau Selatan semakin hampir menempah slot ke separuh akhir.
“Saya juga bersedia diturunkan sama ada dalam kesebelasan utama mahupun sebagai pemain gantian, selain terbuka untuk beraksi di posisi berbeza mengikut keperluan taktikal ketua jurulatih,” katanya.
Ringkasan AI
- Pengendali JDT, Xisco Muñoz mengakui belum memuktamadkan keputusan menurunkan tiga pemain warisan Harimau Malaya pada aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN
- Mereka ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel
- Muñoz menyambut baik keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan yang menangguhkan penggantungan pemain oleh FIFA tetapi perlu lihat prestasi terkini pemain
- Walaupun pemain telah kembali menjalani latihan, keputusan sama ada mereka akan bermain dalam kesebelasan utama atau simpanan bergantung pada prestasi terkini mereka
- JDT kini berada pada kedudukan kedua dalam Kejuaraan Kelab ASEAN setelah dua kemenangan dan seri sekali






