Isu video lucah dalam pejabat masjid, EXCO bawa ke mesyuarat JKTU

Isu video lucah dalam pejabat masjid, EXCO bawa ke mesyuarat JKTU


am@hmetro.com.my

Melaka: Isu tular video memaparkan seorang lelaki sedang menonton video lucah dipercayai dalam pejabat sebuah masjid di Bukit Baru, di sini akan dibawa ke peringkat mesyuarat bagi tindakan lanjut.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu akan dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid (JKTU) yang dijadualkan minggu hadapan.

“Saya akan bawa isu ini untuk apa-apa tindakan yang perlu dalam mesyuarat jawatankuasa masjid atau JKTU minggu hadapan,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 1 minit 59 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki yang didakwa setiausaha masjid, serta dikaitkan dengan sebuah parti politik, sedang leka menonton video lucah dalam sebuah bilik dipercayai pejabat masjid.

Perbuatan lelaki itu dirakamkan individu lain sebelum mengetuk tingkap dan pintu pejabat berkenaan.

Individu yang berada dalam pejabat itu kemudian membuka pintu bilik itu namun dia menafikan melakukan sebarang perbuatan salah.

Menurut perakam video berkenaan, rakaman itu dibuat sebagai bukti kejadian yang didakwa berlaku pada jam 9.13 pagi, pada 27 Disember lalu.

“Ini masjid, dua individu bersama saya adalah saksi nikah kerana ada pengantin yang akan bernikah pagi ini.

“Rakaman ini bukan suntingan atau menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam video tersebut.

Video berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi netizen dengan sebahagian besar mengecam perbuatan mendedahkan identiti serta aib individu terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top