Penyanyi Kayda Aziz tampil memperjelaskan dakwaan yang mengatakan bapanya yang juga penerbit, Roslan Aziz telahpun meninggal dunia.
Menerusi perkongsian di Threads, Kayda atau nama lengkapnya, Wan Nur Khaleda Roslan berkata, bapanya itu masih hidup meskipun sedang berdepan ujian kesihatan.
“Alive and well. Kepada mereka yang ingatkan bapa saya sudah meninggal dunia, dia masih hidup dan ya! Dia kini menghidap kanser limfoma tahap empat in ate 2021, but survived,” katanya.
Menurut Kayda, bapanya juga merupakan wali yang menikahkannya dalam majlis perkahwinannya sebelum ini sekali gus menafikan sebarang spekulasi yang tular.
“Dia adalah wali saya di majlis perkahwinan saya. Tolong jangan sebarkan berita palsu,” katanya.


Terdahulu, isu itu timbul selepas ada individu tampil mempersoalkan status wali Kayda sehingga ada yang membuat andaian tidak berasas mengenai keadaan bapanya.
Perkongsian itu sekali gus menjawab segala spekulasi liar berkenaan status bapanya, selain mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah menyebarkan maklumat palsu.






