Isyarat awal penajaan baharu buat Hakim Danish?

Isyarat awal penajaan baharu buat Hakim Danish?


Zulfahmi (kanan) selepas mengadakan perbincangan dengan Mohd Zameer pada Rabu.

SUASANA positif yang terjalin dalam pertemuan antara Petronas Sprinta dan ZK Racing dilihat berpotensi menjadi titik awal kepada kemungkinan kerjasama penajaan membabitkan pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, menjelang musim baharu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2026.

Pertemuan selama kira-kira dua jam itu melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn. Bhd. (PLMM), Mohd. Zameer Zahur Hussain, bersama pemilik ZK Racing yang juga bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin.

Menurut sumber, perbincangan kedua-dua pihak dipercayai memfokuskan kepada potensi kerjasama dua hala antara Petronas Sprinta dan ZK Racing.

“Ini termasuk kemungkinan sokongan penajaan terhadap pasukan MT MSi Racing Team bagi memastikan Hakim Danish dapat meneruskan kempen Moto3.

“Hasil perbincangan tampak positif, namun sebarang keputusan masih bergantung kepada kata putus pihak Petronas Sprinta kerana cadangan berkenaan perlu diusulkan kepada pengurusan atasan.

“Pada masa sama, ZK Racing turut mengharapkan pihak swasta lain untuk tampil menaja bakat pembangunan sukan permotoran negara,” kongsi sumber itu pada Khamis, sambil memaklumkan keputusan muktamad hanya diketahui selepas pusingan pertama MotoGP.

Pada 25 Oktober lalu, pelumba berusia 19 tahun dari Terengganu itu mencipta sejarah apabila dipilih menyertai MT MSi Racing Team untuk beraksi dalam saingan Moto3 MotoGP 2026.

Sebelum itu, Hakim Danish mempamerkan prestasi konsisten serta kematangan yang menyerlah sepanjang kempen Red Bull Rookies Cup dan JuniorGP, sekali gus menarik perhatian komuniti perlumbaan dua roda antarabangsa.

Pusingan pertama MotoGP 2026 bakal menyingkap tirai dengan Grand Prix (GP) Thailand di Litar Buriram bermula 1 Mac depan.

Ringkasan AI

  • SUASANA positif dalam pertemuan Petronas Sprinta dan ZK Racing membuka potensi kerjasama penajaan untuk Muhammad Hakim Danish Ramli di MotoGP 2026
  • Pertemuan melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif PLMM Mohd. Zameer Zahur Hussain dan pemilik ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin
  • Perbincangan fokus pada potensi kerjasama dua hala antara Petronas Sprinta dan ZK Racing untuk sokongan penajaan kepada MT MSi Racing Team
  • Keputusan kerjasama bergantung kepada pengurusan atasan Petronas Sprinta, dengan hasil perbincangan yang positif
  • Hakim Danish pilih untuk beraksi dalam saingan Moto3 MotoGP 2026 setelah menarik perhatian dengan prestasi konsisten di Red Bull Rookies Cup dan JuniorGP



Source link

OR

Scroll to Top