Di Lorenzo meledak gol buat Itali.
PEMAIN pertahanan Itali, Giovanni Di Lorenzo menjaringkan dua gol ketika Azzurri menang bergaya 4-1 ke atas Israel dalam aksi Liga Negara-Negara di Stadium Bluenergy, Udine, venue keramat kelab Serie A, Udinese.
Mateo Retegui menyempurnakan sepakan penalti minit ke-41 bagi membolehkan anak buah Luciano Spalletti memimpin separuh masa pertama ke atas angkatan Ran Ben Shimon.
Separuh masa kedua Giovanni Di Lorenzo menambah jaringan minit ke-54 dan m-79 diikuti sentuhan Davide Frattesi (m-72) sebelum Mohammed Abu Fani membalas satu gol untuk Israel minit ke-66.
Keputusan itu menyaksikan Azzurri kekal di tangga teratas Kumpulan A2 dengan 10 mata manakala Israel tercorot tanpa sebarang mata selepas mengharungi empat perlawanan.
Itali kini berada depan Perancis yang menewaskan pasukan tangga ketiga Belgium 2-1 di Stadium King Baudouin.
“Mereka bagus dari segi semangat berpasukan pada separuh masa pertama, kami mengejutkan mereka beberapa kali dengan bola Di Lorenzo kepada Retegui.
“Ya, ruangnya sempit… tetapi hakikat kami melakukan percubaan berkali-kali satu petanda semua pemain menampilkan permainan yang hebat,” kata Spalletti pada sidang media.