Itali, Sepanyol pertembungan klasik moden

Itali, Sepanyol pertembungan klasik moden


Donaueschingen: Itali dan Sepanyol akan bertembung Jumaat ini dalam perlawanan terbesar Euro 2024 sejak tirai dibuka, dengan penyandang gelaran bimbingan Luciano Spalletti dan juara tiga kali, La Roja akan berdepan sesama sendiri yang dianggap sebagai pertembungan bola sepak antarabangsa klasik moden.

AFP Sport menyenaraikan pertembungan mereka yang paling tidak dapat dilupakan ketika kedua-dua pasukan bertembung buat kali kelima di Euro, dengan tempat teratas dalam Kumpulan B menjadi buruan.

Beberapa pemain Itali meninggalkan kesan kepada peminat bola sepak seperti Divine Ponytail Roberto Baggio, yang menyinari Piala Dunia 1994 dan menjaringkan gol penentuan dalam pertarungan suku akhir menentang Sepanyol.

Selepas Dino Baggio meletakkan Itali di hadapan dengan rembatan roket pada minit ke-25 di Foxborough, sepakan lencong Jose Luis Caminero menyamakan kedudukan sejurus sebelum aksi memasuki minit ke-60.

Dengan perlawanan itu kelihatan ditakdirkan untuk masa tambahan Roberto Baggio membawa Itali ke saingan empat terakhir dengan mengutip hantaran Giuseppe Signori, melepasi Andoni Zubizarreta dan melakukan penyudah yang sempurna.

Baggio mengalami pengakhiran yang tragis pada kejohanan hebatnya apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan akhir menentang Brazil menyebabkan Azzurri terlepas peluang julang Piala Dunia.

Dua tahun selepas memenangi Piala Dunia menerusi penentuan sepakan penalti menentang Perancis, giliran Itali pula yang terluka di tangan Sepanyol pada suku akhir Euro 2008.

Iker Casillas membantu Sepanyol mencatat kemenangan melalui penentuan sepakan penalti di Ernst Happel Stadion di Vienna menyingkirkan Itali yang diketuai Gianluigi Buffon selepas perlawanan memenatkan berakhir tanpa jaringan sehingga masa tambahan.

Casillas dan Buffon dianggap sebagai dua penjaga gol terbaik dunia pada masa itu, dengan kedua-duanya mengetuai pasukan kebangsaan masing-masing.

Ikon Real Madrid, Casillas menghalang percubaan Daniele De Rossi dan Antonio Di Natale manakala Buffon gagal menyelamatkan satu pun sepakan penalti Sepanyol ketika pasukan kendalian Luis Aragones mara dan terus menguasai bola sepak antarabangsa untuk empat tahun selepas itu.

Sepanyol berjaya mengatasi Itali sekali lagi empat tahun kemudian apabila persembahan bola sepak tiki-taka yang mengagumkan menjadikan La Roja pasukan pertama yang pernah mengekalkan kejuaraan Euro.

Selepas menjadi juara dunia, Sepanyol mengesahkan status mereka sebagai pasukan terkemuka dalam bola sepak dunia dengan mengalahkan pasukan Itali yang dibarisi Buffon, Giorgio Chiellini, Andrea Pirlo dan Mario Balotelli 4-0 dalam perlawanan akhir di Kyiv.

Trio pemain tengah Barcelona Xavi, Andres Iniesta dan Sergio Busquets beraksi buat kali terakhir untuk generasi itu di pentas antarabangsa, ketika Sepanyol memenangi Euro dengan hanya melepaskan satu gol dalam permainan masa sebenar.

Gol itu dijaringkan oleh Di Natale dalam keputusan seri 1-1 ketika memulakan kempen Euro mereka ketika itu.

Gianluigi Donnarumma membalas dendam buat Buffon tiga tahun lalu apabila menyelamatkan sepakan penalti untuk membantu Itali mengatasi Sepanyol dan mara ke final Euro 2020, di mana Azzurri memenangi perlawanan akhir yang mendebarkan menentang England.

Satu lagi perlawanan menarik sehingga ke sepakan penalti selepas Alvaro Morata menjaringkan gol ketika berbaki 10 minit untuk membatalkan jaringan pembukaan cemerlang Federico Chiesa.

Donnarumma adalah wira pada malam yang panas di Wembley ketika dia menyelamatkan penalti pembukaan Dani Olmo sebelum menafikan sepakan Morata, membolehkan Jorginho menghantar Itali ke final.

Penjaga gol Paris Saint Germain itu muncul wira dalam penentuan penalti perlawanan akhir apabila Itali memenangi Euro buat kali pertama lebih setengah abad.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top