Itali tunjuk Spalletti jalan keluar

Itali tunjuk Spalletti jalan keluar


LUCIANO Spalletti mengumumkan pemecatannya sebagai pengendali Itali pada Ahad, berikutan kekalahan Gli Azzurri kepada Norway, namun, tetap akan mengemudi pasukan dalam perlawanan menentang Moldova pada Isnin.

Pengumuman mengejutkan itu dibuat Spalletti dalam sidang media selepas Norway menumbangkan Itali 3-0 pada Jumaat lalu, memberikan permulaan yang memalukan kepada Itali dalam kempen kelayakan Piala Dunia.

“Malam tadi saya bertemu dengan Presiden (Persekutuan Bola Sepak Itali) Gabriele Gravina. Beliau memaklumkan bahawa saya akan dilepaskan daripada jawatan sebagai jurulatih pasukan kebangsaan.

“Saya sama sekali tidak berniat untuk berputus asa. Saya lebih rela kekal di tempat saya dan meneruskan tugas. Saya akan berada di sana esok malam menentang Moldova, kemudian kami akan menyelesaikan kontrak,” kata Spalletti, menggambarkan keinginannya untuk terus berjuang.

Pemecatan Spalletti hadir selepas kurang daripada dua tahun menggalas tanggungjawab, setelah menggantikan Roberto Mancini dan memulakan tugas pada September 2023.

Walaupun Spalletti berjaya membawa Itali ke Euro 2024, persembahan hambar di kejohanan itu telah pun meletakkan beliau di bawah tekanan.

Itali memasuki Euro di Jerman tahun lalu sebagai juara bertahan, namun selepas memenangi perlawanan pembukaan menentang Albania, mereka tewas kepada Sepanyol dan hanya mampu mengutip keputusan seri lewat dengan Croatia untuk mara ke pusingan 16 terakhir sebelum tewas 0-2 kepada Switzerland.

Skuad kendalian Spalletti kelihatan telah pulih apabila mempamerkan kempen Liga Negara-Negara yang mengagumkan, menewaskan Perancis 3-1 di tempat lawan dan hanya tewas sekali.

Mereka tewas di laman sendiri kepada Perancis dalam perlawanan terakhir kumpulan, sekali gus menamatkan saingan di belakang Perancis berdasarkan perbezaan gol.

Itali memulakan tahun ini dengan kekalahan 2-1 di San Siro pada perlawanan suku akhir pertama Liga Negara-Negara menentang Jerman dan ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama dalam perlawanan timbal balik di Dortmund.

Walaupun skuad Spalletti bangkit untuk meraih keputusan seri, mereka terlepas tempat ke separuh akhir.

Ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama sekali lagi ketika menentang Norway, kali ini Itali gagal memberikan sebarang respons.

Kekalahan tersebut meletakkan skuad Spalletti berdepan cabaran sukar untuk memastikan kelayakan automatik ke Piala Dunia tahun depan.

Selepas Itali terlepas dua edisi Piala Dunia terakhir, Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) akhirnya mengambil tindakan drastik.



Source link

OR

Scroll to Top