July 23, 2024

Itu bukan hadis – Ustaz Don

Itu bukan hadis – Ustaz Don


PUTRAJAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid menjelaskan  kata-kata beliau dalam sebuah program siaran langsung televisyen bukan hadis lemah (dhaif).

Sebaliknya, kata-katanya daripada petikan seorang ulama Imam An Nawawi Al Bünyan’t dalam kitabnya Tanqihul Qaul Al Hadith.

Dakwa Don Daniyal lagi, tidak mungkin untuk seorang iman Masjidil Haram membuat kekhilafan.

“Beliau juga merupakan orang Melayu (Nusantara) yang menjadi imam Masjidil Haram.

“Mana mungkin imam ini menulis perkara yang salah dan kalau saya  memetik kitab itu maksudnya imam itu juga melakukan kesilapan.

“Imam ini dimakamkan perkuburan Ma’la. Kalau kata saya bagi hadis tidak betul. Dua ulama ini kena banned dulu,” katanya lagi.

“Semalam keluar kata saya gunakan hadis tanpa sumber. Semua orang terlepas pandang, saya tidak sebut pun mengenai hadis.

“Ia dimanipulasi sebab selepas saya jumpa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), mereka ada bagitahu garis panduan. Mereka gariskan supaya berhati-hati keluarkan kenyataan dan jangan letak sewenang-wenangnya pada Nabi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, malam tadi.

Sidang media itu dibuat Don Daniyal bagi memberikan penjelasan mengenai kenyataan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman bahawa penamatan khidmat beliau dalam program Salam Baitullah terbitan RTM di TV1 selepas sekali lagi mencetuskan kontroversi semalam.

Suhaimi berkata, terkilan dan marah dengan sikap pendakwah itu yang seolah-olah tidak serik walaupun sudah ditegur berulang kali agar berhati-hati dalam percakapannya.

Dalam pada itu, Don Daniyal tidak menolak berlaku salah faham dalam isu berkenaan sehinggakan beliau digugurkan daripada sebuah program yang bersiaran langsung.

“Saya tidak kata mereka salah sebab itu adalah lumrah. Saya guna perkataan yang salah faham dan saya memaafkan semua orang,” kata Don Daniyal lagi.

Terdahulu dalam siaran langsung semalam, Ustaz Don menyatakan hadis memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 ekor kuda di jalan Allah apabila program itu dihadiri oleh gurunya, Ustaz Kazim Elias sebagai tetamu jemputan.

Perkongsian Ustaz Don itu sekali lagi mengundang kontroversi, selain dibantah oleh pakar bidang hadis, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle yang mendakwa lafaz yang dinyatakan oleh Ustaz Don itu tidak dapat dijumpai sanadnya.

Muhamad Rozaimi yang juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis berkata, selepas menyemak tiga nama kitab yang diberi Ustaz Don, beliau mendapati hadis yang dibacakan dalam siaran langsung itu tidak ditemui asalnya dan tidak diketahui sanadnya.

Muhamad Rozaimi yang juga Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) berkata, bagi kitab Tanqih al-Qaul pula ada syarah kepada Lubab al-Hadith, manakala al-Durrah al-Yatimah juga bukanlah kitab hadis primer kerana tidak menyatakan sanad bagi hadis ini.

Sebelum ini, Ustaz Don ‘direhatkan’ hampir seminggu selepas kontroversi dirinya menyebarkan hadis serta cerita berkenaan cinta pertama Nabi Muhammad SAW dengan Ummu Hani’ yang dianggap lemah dan tidak bersumber.

Kemudian, beliau kembali ligat mengemudi program itu selepas membuat kemunculan semula kelmarin. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top