Izzat rayu bantuan demi negara

Izzat rayu bantuan demi negara


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Bantu kami, tolong kami, demi Malaysia.”

Itu harapan atlet panjat dinding (wall climbing) negara, Mohd Izzat Shokor yang kini berada di fasa genting sebagai persiapan ke Sukan Sea 2025 di Bangkok, Thailand bulan depan dan berharap akan ada pihak yang tampil membantu meringankan beban kewangan yang dialami ketika ini.

Tanpa sebarang persiapan yang rapi, sudah pasti harapan untuk berada di atas podium akan menjadi sukar apatah lagi perlu bersaing dengan atlet tuan rumah dan Indonesia yang jauh berada di hadapan terutama dari segi persediaan.

Menurut atlet berusia 33 tahun itu, sekarang ada satu syarikat yang cuba tampil membantu dia dan rakan-rakan dari segi kewangan agar segala perancangan boleh dilakukan dengan baik.

“Setakat ini ada satu syarikat yang nak cuba tolong dari segi penajaan. Kami ada berhubung dan sekarang tengah berbincang mencari persetujuan bersama dan boleh dikatakan perbincangan itu ke arah positif.

“Sebenarnya, kita pun memang mengharapkan akan ada pihak yang tampil untuk memberi penajaan terutama dari persatuanlah atau pun daripada mana-mana NGO (pertubuhan bukan kerajaan) bagi membantu kita ke Sukan Sea.

“Dari kewangan, ya saya pun terkesan tetapi atlet lain memang (lagi banyak) keluar duit sendiri untuk pergi latihan dekat luar. Saya pun perlu guna barang sendiri untuk berlatih,” katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, Izzat turut memaklumkan bahawa pihak Persekutuan Mendaki Malaysia (PMM) ada memaklumkan kepada mereka bahawa pihak pengurusan sedang berusaha mencari penaja untuk meringankan beban setiap atlet yang akan bersaing di Thailand nanti.

“Dari PMM, mereka menyatakan sedang berusaha untuk mendapatkan dana tambahan. Itu yang mereka beritahu dalam perjumpaan bersama semalam,” katanya.

Biarpun diuji dari segi kewangan ketika ini, Izzat masih optimis dan bertekad akan menampilkan prestasi cemerlang agar mampu berada di kedudukan podium.

“Insya-Allah. Saya pun memang sasar untuk dapatkan sekurang-kurangnya pingat gangsa. Thailand dan Indonesia dilihat antara pencabar utama pada Sukan Sea kali ini,” katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan, Izzat terpaksa menanggung sendiri kos penyertaan hampir RM4,500 serta berlatih tanpa pusat latihan menjelang Sukan Sea bulan depan.

Bagaimanapun, Presiden PMM, Akbal meluahkan bahawa Izzat bukan berada dalam program khas LA28 dan pemilihannya dibuat berdasarkan senarai akhir dihantar kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

MSN pula memaklumkan bahawa dana RM200,000 sudah disalurkan kepada PMM tahun ini dan pengurusannya adalah tanggungjawab persatuan, sambil menegaskan sukan mendaki perlu membuktikan kemampuan sebelum sebarang penambahan dana dipertimbangkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top