IPOH – Pemain boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple yang memenangi pingat emas pada Kejohanan Boling Padang Asia ke-16 di Filipina, April lalu dinobat sebagai Olahragawan Negeri Perak bagi tahun 2023/2024.
Kejayaan yang dilakar sejak dua tahun lalu telah mengetepikan calon daripada atlet tenis, Mitsuki Leong Wei Kang dan atlet olahraga, Muhammad Azeem Mohd Fahmi.
Atlet berusia 43 tahun yang kini berada di kedudukan ke-11 ranking dunia itu pernah membantu Malaysia memenangi emas dalam acara perseorangan lelaki di Kejohanan World Champion of Champions Australia 2023 dan Worls Bowls Indoor Single Championship Warilla, Australia.
Sementara itu, Olahragawati Negeri Perak pula diungguli atlet tenpin boling negara, Sin Li Jane yang menewaskan dua lagi calon iaitu atlet boling padang, Aleena Ahmad Nawawi dan atlet berbasikal, Nyo Ci Hui.
Sultan Nazrin (tengah) berkenan bergambar bersama Olahragawan Negeri Perak, Izzat Shameer dan Olahragawati Negeri Perak, Sin Li Jane yang diwakili abangnya, Sin Ken Mun pada Anugerah Sukan Negeri Perak 2023/2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh pada Rabu.
Atlet berusia 33 tahun itu pernah menyertai kejohanan USBC Queens Greenbay, USA tahun lalu selain Kejohanan IBF World Kuwait pada tahun 2023.
Kedua-dua olahragawan dan olahragawati masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai RM7,000, blazer, trofi serta piala pusingan.
Majlis penyampaian disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersempena Anugerah Sukan Negeri Perak 2023/2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Rabu.
Sementara itu, Olahragawan Harapan diraih atlet bola tampar pantai, Low Jeng Yih manakala Olehragawati Harapan diberikan kepada atlet renang, Joelle Chan Zu-Ee.
Masing-masing menerima hadiah berupa piala dan insentif bernilai RM3,000.
Bagi kategori Jurulatih Terbaik pula diberikan kepada Jurulatih sukan berbasikal, Hishamuddin Mohd Zaki manakala Pasukan Terbaik pula milik pasukan sepak takraw, Perak Bison.
Kategori Kepimpinan Sukan dimenangi Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (sepak takraw); Anugerah Jasamu Dikenang, Mohd Jamil Zakaria (bola sepak) dan Anugerah Keluarga Sukan kepada Mohamad Ayob Kamaruddin (tenpin boling).
Manakala Anugerah Media pula disandang pemberita Bernama, Razif Rosli dan Jabatan Penyiaran Negeri Perak, Mohd Fitri Azman.
Dalam pada itu, Anugerah Atlet Terbaik Para Lelaki dan wanita dimenangi atlet berbasikal, Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin dan Nur Suraiya Muhammad Zamri dan Anugerah Khas Persatuan Sukan diberikan kepada Persatuan Golf Negeri Perak.