Jabatan Imigresen teliti reformasi kerja elak salah guna kuasa

Jabatan Imigresen teliti reformasi kerja elak salah guna kuasa


PETALING JAYA : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat atau kedudukan yang menyalahgunakan kuasa untuk tujuan kepentingan peribadi yang melanggar undang-undang negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung 11 kelemahan utama yang membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi “counter setting”.

Kata beliau, JIM telah meneliti dan mengambil tindakan reformasi proses kerja dan penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh dengan mengambil kira teguran dan cadangan penambahbaikan yang diberikan dalam masa terdekat.

“Jabatan ini tidak akan berkompromi dalam menjamin keselamatan pintu masuk negara sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, JIM juga komited untuk memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi terlibat berhubung tindakan lanjut susulan penahanan 49 pegawai imigresen berkaitan ‘counter setting’.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan dalang utama yang juga seorang pegawai imigresen ‘berpengaruh’ bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’ akan didakwa di mahkamah awal bulan depan.

Suspek berusia 40-an itu ditahan pada 5 September lalu selepas berhasil meloloskan diri ketika operasi dijalankan sebelum ini.

Menerusi Op Pump, SPRM turut merampas wang tunai RM766,693 yang ditemukan dalam bagasi dan di bawah katil dalam bilik tidur menerusi serbuan di kediaman pegawai imigresen yang terbabit dalam sindiket sama.

Selain itu, sejumlah RM518,250 pula ditemukan dalam bagasi di bilik tidur pegawai wanita imigresen Gred KP22 di kediamannya di Pahang.

SPRM turut menemukan wang tunai RM248,443 yang disimpan di bawah katil bilik utama pegawai imigresen lelaki Gred KP19 di rumahnya di Melaka.

Wang tunai yang ditemukan itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan RM1.49 juta yang berjaya disita daripada penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket ‘counter setting’.

Baru-baru ini, seramai 50 penguat kuasa kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menerusi modus operandi ‘counter setting’ atau ‘laluan kaunter khas’.

Daripada jumlah itu, sebanyak 49 penguat kuasa terlibat adalah pegawai di Jabatan Imigresen dan seorang lagi merupakan anggota PDRM.





Source link

OR

Scroll to Top