Jackson digantung dua perlawanan

Jackson digantung dua perlawanan


Jackson dilayangkan kad merah semasa Chelsea menentang Flamengo di Philadelphia, Pennsylvania.

PENYERANG Chelsea, Nicolas Jackson, dikenakan penggantungan dua perlawanan akibat kad merah yang diterimanya ketika pasukannya diaibkan 1-3 oleh Flamengo dalam aksi Piala Dunia Kelab di Stadium Lincoln Financial Field, Philadelphia, Pennsylvania, pada Sabtu lalu.

Jackson dilayangkan kad merah hanya empat minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian lewat, susulan terjahan tinggi ke atas pertahanan Flamengo, Lucas Ayrton.

Tonggak Senegal itu secara automatik digantung satu perlawanan, menyaksikannya terlepas aksi terakhir peringkat kumpulan menentang kelab Afrika, ES Tunis, yang turut berlangsung di Stadium Lincoln Financial Field.

Namun begitu, Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah meneliti insiden tersebut dan memutuskan untuk melanjutkan penggantungan itu kerana ia dianggap sebagai terjahan serius.

Keputusan jawatankuasa badan induk itu bermakna Jackson akan terlepas perlawanan pusingan 16 terakhir Chelsea sekiranya kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan berjaya mara.

Sebagai rekod, keputusan Jawatankuasa Disiplin ini adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.

Skuad kendalian Enzo Maresca, dalam pada itu, perlu mengelak daripada tewas kepada wakil Maghribi berkenaan di Philadelphia untuk melangkah ke peringkat kalah mati.

Kad merah tersebut adalah yang kedua buat Jackson dalam tempoh empat perlawanan, menjadikannya kini digantung dalam dua pertandingan berbeza – Liga Perdana Inggeris dan Piala Dunia Kelab.

Jackson kini mempunyai rekod gabungan 10 kad disiplin sepanjang musim ini, termasuk lapan kad kuning yang telah dikutipnya.

Bekas pemain kelab LaLiga Sepanyol, Villarreal itu telah memohon maaf menerusi media sosial selepas perlawanan.

Sementara itu, pertahanan Marc Cucurella dan pengendali pasukan, Enzo Maresca, mendedahkan bahawa penyerang itu turut memohon maaf secara peribadi kepada rakan sepasukannya selepas perlawanan.



Source link

OR

Scroll to Top