am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi bersuara emas, Jaclyn Victor kini melalui fasa bahagia dalam kehidupannya selepas bergelar isteri kepada lelaki pilihannya, Calvin T. Samuel, yang juga seorang paderi berasal dari Barbados.
Selepas enam tahun membesarkan dua anak sebagai ibu tunggal, Jaclyn, 46, bersyukur dipertemukan dengan insan yang serasi dan menerima dirinya seadanya.
“Setakat ini saya baik-baik saja dan merasakan berada dalam kehidupan yang gembira. Tak selalu kita jumpa orang yang serasi dan boleh terima diri kita sepenuhnya,” katanya.
Kata penyanyi lagu Ikut Rentakku itu lagi, dia memilih untuk tidak terlalu menghebahkan berita perkahwinan tersebut atas alasan usia dan sifatnya yang lebih menghargai privasi.
“Bukan saya mahu berahsia, tapi saya rasa ia lebih baik disimpan secara peribadi. Ini bukan perkahwinan pertama saya dan saya pun tahu malam itu kawan-kawan akan muat naik juga di media sosial,” katanya.
Jaclyn ditemui ketika sidang media konsert Eternal Love Timeless Romance Bunga Citra Lestari hari ini.
Mengulas mengenai Calvin, Jaclyn berkata antara sifat yang membuatkannya tertarik ialah keperibadiannya yang tenang serta keserasian bersama anak-anak.
“Dia seorang yang sangat baik, tenang dan mudah untuk berkomunikasi. Saya paling suka cara dia layan anak-anak saya. Dia banyak habiskan masa dengan mereka dan hubungan kami sangat selesa,” katanya.
Sementara itu, Calvin yang turut hadir bersama Jaclyn berkongsi detik awal perkenalan mereka yang bermula di sebuah acara amal dua tahun lalu.
“Kami bertemu ketika saya bercuti panjang. Ketika itu saya hadir ke satu acara di mana Jaclyn membuat persembahan. Itulah kali pertama kami bertemu, dan saya terus tertarik dengan kerendahan hati serta keperibadiannya yang menakjubkan,” katanya.
Jaclyn pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Amerika Syarikat, Shawn Rivera pada Julai 2014 namun berpisah lima tahun kemudian.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Jonah Joshiah Rivera, 10, dan Molly Marguerite Rivera, 8, yang kini tinggal bersama Jaclyn.
© New Straits Times Press (M) Bhd