Abu Dhabi: Juara dunia Formula Satu (F1) yang baharu, Lando Norris menegaskan kejayaannya merangkul gelaran pertama hadir dengan cara yang paling membanggakan iaitu dengan tetap menjadi dirinya sendiri.
Pemandu McLaren berusia 26 tahun itu berkata kemenangan itu lebih bermakna kerana dia tidak mengubah karakter atau meniru gaya agresif juara lain seperti Max Verstappen.
“Itu salah satu perkara yang membuatkan saya paling bangga. Saya rasa saya menjuarainya dengan cara yang saya mahukan bukan dengan menjadi seseorang yang bukan diri saya.
“Tidak cuba menjadi agresif seperti Max atau sekeras beberapa juara sebelum ini. Saya gembira kerana saya menang dengan cara saya sendiri sebagai pemandu yang adil, jujur,” katanya.
Norris mengakui dia boleh memilih untuk lebih agresif dalam beberapa perlumbaan tetapi itu bukan identitinya.
“Bolehkah saya lebih agresif, lepaskan brek dan ‘langgar’ beberapa orang? Sudah tentu boleh, dan mungkin saya perlu melakukannya pada masa depan. Tapi itu bukan saya. Itu bukan cara saya berlumba,” katanya.
Norris menamatkan Grand Prix (GP) Abu Dhabi di tempat ketiga di belakang Verstappen dan rakan sepasukan, Oscar Piastri, tetapi ia sudah cukup untuk memastikan gelaran pemandu sulungnya, sekali gus melengkapkan kejuaraan berganda McLaren buat kali pertama sejak 1998.
Norris yang menitiskan air mata selepas perlumbaan itu menamatkan musim dengan kelebihan dua mata mengatasi Verstappen, yang terpaksa melepaskan takhta selepas empat tahun menguasai sukan berprestij itu.
Perlumbaan penutup musim yang penuh dramatik itu sarat dengan strategi dan taktik yang mencetuskan debaran hingga ke garisan penamat.
Pemandu muda Britain itu turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan, keluarga dan rakan-rakan atas sokongan mereka sepanjang perjalanan kariernya.
“Saya bangga, tetapi bukan kerana saya akan bangun esok dan berkata saya kalahkan semua orang.
“Saya bukan bangga kerana boleh berkata saya juara dunia. Saya bangga kerana saya rasa saya telah membuat ramai orang gembira,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






