Jadi orang biasa kerja 'gomen'

Jadi orang biasa kerja 'gomen'


georgie@hmetro.com.my

SIRI 2

Nadiya Nisaa pernah mengambil keputusan mengejutkan untuk berehat seketika daripada dunia hiburan tempatan demi mencuba nasib bekerja makan gaji dalam sektor awam.

Pelakon ini memilih untuk menjalani kehidupan sebagai orang biasa tanpa sebarang kerdipan lensa kamera dan perhatian ramai ketika fasa awal perkahwinannya bersama suami tercinta.

Pengalaman bekerja di pejabat sebenarnya memberikan satu perspektif baharu kepadanya dalam memahami pelbagai karakter manusia sejagat untuk diterjemahkan kembali dalam lakonan di skrin.

“Bila saya ‘stop’ dan masuk alam pekerjaan jadi orang biasa, saya jumpa banyak karakter menarik sebab dunia lakonan ini kadangkala boleh jadi satu dunia tidak nyata.

“Saya jenis seorang yang ‘reserve’ dan tidak selalu meluahkan perasaan dalam dunia sebenar, jadi lakonan adalah tempat untuk saya meluahkan perkara terbuku di hati,” katanya.

Dia mengakui bahawa dunia realiti dan lakonan sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain terutama apabila dia mula memegang watak berbeza sebagai anak seni.

“Ketika fasa kerja pejabat lepas berkahwin, saya masih cuba cari rentak macam mana nak jadi isteri, bina keluarga dan pada masa sama kejar kerjaya,” katanya.

Situasi terbabit dirasakan agak bertentangan kerana dia perlu membiasakan diri dengan rutin harian seperti pekerja lain yang mempunyai majikan serta perlu menepati masa setiap hari.

“Saya masuk dunia pejabat dan bersembang dengan orang biasa, ada bos dan hari-hari kena datang tepat masa untuk ‘punch card’ sebelum memulakan sebarang tugasan,” katanya.

Rutin harian Nadiya juga berubah sepenuhnya apabila perlu menggunakan pengangkutan awam termasuk sistem transit aliran ringan (LRT) dan berjalan dari stesen untuk menuju pejabat tempat dia mencari rezeki.

“Dalam perjalanan itu, saya berselisih dan duduk dengan orang ramai dalam kereta api sambil menjalani kehidupan normal yang sangat menarik ketika tempoh terbabit,” katanya.

Kesempatan menjadi orang biasa membolehkan Nadiya memperlahankan rentak hidup yang sibuk serta memberikan fokus sepenuhnya mengenai perkara sebenar yang mahu dilakukan dalam hidup sehariannya kini.

“Saya boleh singgah tepi jalan beli makanan cucuk-cucuk dan lepak makan kerana orang tidak kenal kita masa itu, jadi ia tidak memberikan tekanan langsung,” katanya.

Kebebasan menikmati makanan jalanan tanpa gangguan peminat adalah satu nikmat tersendiri buat dia sebelum namanya kembali meledak naik dalam industri seni tanah air selepas itu.

“Keadaan tenang itu kekal sehingga saya menang anugerah ketika masih bekerja di pejabat, kemudian baru datang beberapa tawaran lain untuk saya pertimbangkan semula,” katanya.

Kemenangan anugerah terbabit ternyata menjadi titik tolak penting yang mengubah pendirian Nadiya untuk tidak menyambung kontrak di tempat kerjanya iaitu bahagian perhubungan awam sebuah agensi kerajaan.

“Selepas menang, saya dikurniakan pula cahaya mata pertama dan selepas pantang baru saya buat keputusan sama ada mahu terus kerja pejabat atau pun kembali berlakon,” katanya.

Dilema antara kerjaya tetap dan minat mendalam terhadap seni lakonan akhirnya terlerai apabila dia memilih untuk meninggalkan pekerjaan sebagai kakitangan awam demi mengejar impian sebagai pelakon versatil.

“Masa itu saya nekad buat keputusan kembali ke kerjaya lakonan dan tinggalkan kerja lama di unit perhubungan awam sektor kerajaan demi kepuasan diri,” katanya.

Keputusan berani Nadiya ternyata berbaloi kerana kini namanya cukup disegani ramai dan membuktikan bahawa pengalaman hidup mematangkan kualiti lakonannya.

ESOK: Dilabel sombong dan rasa dirinya pelik.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top