Jadikan keputusan CAS iktibar – Menteri

Jadikan keputusan CAS iktibar – Menteri


Mohammed Taufiq (lima dari kanan) ketik menghadiri Majlis Iftar Ramadan Madani di Masjid Al-Ikhlas, Sungai Petani pada Ahad.

SUNGAI PETANI – Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan denda terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta penggantungan tujuh pemain negara oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan tersebut dan langkah seterusnya perlu diatur bagi memastikan pembangunan bola sepak negara terus diperkasa.

“Proses undang-undang itu telah pun berjalan dan kita menerima keputusan yang dibuat. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti langkah susulan yang perlu dilaksanakan.

“Apa pun, pembangunan bola sepak tidak boleh terhenti di sini dan semangat rakyat terhadap sukan ini tidak boleh luntur. Kita akan merangka pelan bagi melihat bagaimana bola sepak negara mampu bergerak ke hadapan dengan kerjasama semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadan Madani peringkat Parlimen Sungai Petani di Masjid Al-Ikhlas, Tikam Batu di sini pada Ahad.

Menurutnya, keputusan CAS tidak seharusnya menjejaskan usaha pembangunan bola sepak negara, khususnya di peringkat akar umbi.

Justeru, semua pihak berkepentingan termasuk FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu berganding bahu memperkasa pembangunan bola sepak menerusi pelaksanaan program berimpak tinggi seperti Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Media sebelum ini melaporkan, CAS mengekalkan keputusan FIFA mengenakan denda terhadap FAM serta penggantungan tujuh pemain negara.

Panel CAS memaklumkan, denda CHF350,000 ke atas FAM dikekalkan manakala penggantungan tujuh pemain terbabit juga kekal selama 12 bulan.

Tujuh pemain berkenaan ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Bagaimanapun, selaras dengan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC), panel memutuskan penggantungan hanya terpakai bagi perlawanan serta aktiviti berkaitan bola sepak.

Sehubungan itu, pemain berkenaan masih dibenarkan menjalani latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan.

Ringkasan AI

  • Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan mengekalkan denda terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia dan penggantungan tujuh pemain negara oleh FIFA
  • Menteri Belia dan Sukan mengambil maklum keputusan tersebut dan menyatakan pembangunan bola sepak negara harus terus diperkasa
  • Keputusan CAS tidak patut mengganggu usaha pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi
  • Pihak berkepentingan termasuk FAM dan Majlis Sukan Negara harus bekerjasama memperkasa pembangunan bola sepak
  • Panel CAS mengesahkan denda CHF350,000 terhadap FAM dan penggantungan tujuh pemain selama 12 bulan, namun mereka dibenarkan menjalani latihan bersama kelab



Source link

OR

Scroll to Top