Jadual padat bikin Piala Raja Thai panas

Jadual padat bikin Piala Raja Thai panas


Skuad kuadran negara menentang Korea Selatan dalam aksi Kumpulan A Piala Raja Thai pada jam 1 pagi Khamis. Foto Facebook Bolarotan TV

JADUAL perlawanan Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2025 di Songkhla yang padat mencetuskan suasana panas dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan.

Suasana tersebut membuatkan beberapa negara mengancam untuk menarik diri susulan jadual perlawanan pada Rabu dijangka berlarutan sehingga ke jam 3 pagi Khamis.

Ia melibatkan Nepal, India, Vietnam, Pakistan, Jepun, Bangladesh, Myanmar, Laos, Korea Selatan dan Malaysia.

Bagaimanapun selepas perbincangan pegawai pasukan bersama penganjur, perlawanan diteruskan sehingga jam 1 pagi Khamis.

Baki lapan saingan yang dijadualkan pada Rabu disambung pada jam 9 pagi Khamis.

Situasi tersebut turut memberi kesan kepada skuad kuadran lelaki negara yang beraksi dua perlawanan dalam tempoh singkat.

Para pemain turun menentang Thailand pada jam 5.10 petang Rabu yang menyaksikan skuad negara mengejutkan pasukan tuan rumah apabila menang 2-0.

Dalam aksi Kumpulan A itu, Malaysia menurunkan Afifuddin Razali dan Shahalril Aiman Halim selaku killer serta Aidil Aiman Azwawi dan Norfaizzul Abd Razak di posisi feeder.

Skuad kuadran Gajah Putih pula dibarisi Rachan Viphan, Kritsanapong Nontakote, Sankhai Daoreang dan Seksan Tubtong tewas straight set 15-13, 17-16.

Malaysia kemudian dijadual berdepan Korea Selatan pada jam 7.50 malam, namun tertangguh sehingga lewat malam Rabu yang menyaksikan pasukan negara menang 2-1.

Kemenangan tersebut sekali gus mengesahkan kemaraan skuad negara ke saingan separuh akhir menentang India pada Jumaat.

Kemenangan 2-0 ke atas Singapura pada pagi Khamis memacu Malaysia untuk muncul sebagai juara kumpulan.



Source link

OR

Scroll to Top