Berbaki sebulan sebelum melangkah ke 2026, pelakon dan penyanyi Diana Danielle, 33, mahu meninggalkan tahun ini dengan semangat baharu, bukan sahaja dalam kerjaya, tetapi juga kehidupan peribadi sebagai seorang ibu.
Menurut pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson ini, dia mahu menumpukan perhatian untuk memperbaiki diri.
Pelantun lagu Bersama Dengan Rindu itu juga mahu memperbaiki hubungan dengan manusia kerana mahu memasuki tahun baharu dengan lebih tenang.
“Menutup 2025, saya mahu menjadi insan yang lebih baik. Bila kita dah sampai ke hujung tahun, mungkin ada hubungan yang tak begitu baik. Jadi saya nak cuba perbetulkan sebelum melangkah ke tahun 2026,” katanya.
Diana berkata demikian Ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 Lee Swee Kiat Group Berhad (LSK) di MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Melihat kembali sorotan tahun 2025 yang penuh dengan komitmen kerja, ibu kepada dua cahaya mata ini berhasrat menggantikan masa yang kurang dihabiskan bersama anak-anaknya selain mahu memperbaiki diri pada tahun hadapan.
“Tahun 2026 saya nak lebih beri tumpuan pada anak-anak sebab tahun ini jadual saya sangat sibuk. Saya nak bantu mereka capai apa yang mereka impikan.
“Saya juga ada tiga filem yang akan ditayangkan. Harapan saya semuanya berjaya di pawagam. Saya turut merancang untuk keluarkan single baharu dan saya berharap lagu itu akan diterima ramai.
“Saya nak menjadi anak, ibu, rakan dan jiran yang lebih baik. Mudah-mudahan Allah perkenankan,” katanya.
Menyentuh rutin sebagai wanita yang bekerja, Diana menekankan tidur yang berkualiti sebagai elemen penting dalam menjaga kesihatan fizikal dan emosi.

Sebagai wajah untuk jenama tilam premium Napure, Diana menjelaskan pemilihan tilam yang betul memainkan peranan besar terhadap keselesaan tubuh.
“Tilam yang berkualiti dapat menyokong badan dengan baik. Ada tilam direka dengan pilihan suhu, tahap kelembutan dan ketegapan tertentu, malah ada yang beri cooling effect.
“Saya pula suka tidur mengiring, jadi penggunaan tilam dan bantal yang tidak sesuai boleh buat bahu atau tengkuk rasa sakit. Sejak jadi duta Napure, saya boleh pilih tilam yang selari dengan cara saya tidur,” katanya.
Dalam pada itu, sambutan ulang tahun ke-50 LSK berlangsung dengan penuh meriah apabila Diana membuat persembahan sebelum turut serta mengendalikan sesi cabutan bertuah ‘Spend & Win’ bersama para pelanggan.
Turut menjadi tumpuan ialah kehadiran Amber Chia yang juga duta Napure. Amber memperkenalkan koleksi ‘Blind Box’ edisi terhad Napure, satu inisiatif baharu jenama itu untuk menarik perhatian peminat barangan eksklusif yang semakin menggemari konsep tersebut, selain mengajak mereka meneroka rangkaian produk tidur premium dan inovatif keluaran Napure.
Kempen ‘Spend & Win’, yang menjadi acara kemuncak sambutan, telah bermula sejak Mac dan menerima lebih 1,800 penyertaan daripada pelanggan yang membuat pembelian minimum RM3,000.

Antara hadiah yang ditawarkan termasuk kereta elektrik Proton e.MAS 7, pakej percutian ke Eropah, beg Louis Vuitton, pelayaran Disney, Dyson Airwrap dan pelbagai barangan rumah daripada Cuckoo. Cabutan mini turut disediakan dengan hadiah serta-merta seperti percutian ke Bangkok, pas masuk Sunway Lagoon dan makan malam di Menara KL.
Bagi LSK, ulang tahun ini bukan sekadar melihat kembali perjalanan setengah abad syarikat dalam industri pembuatan tempatan, tetapi juga sebagai cara menghargai pelanggan yang terus menyokong mereka sejak awal penubuhan.
Ditubuhkan sebagai perniagaan perabot pada 1975, LSK berkembang menjadi antara pengeluar tilam berasaskan lateks paling lama bertahan di Malaysia, selain menjadi pengedar jenama antarabangsa seperti Tempur, Englander, Stressless dan Viscopedic.
Pengarah Urusan LSK, Datuk Eric Lee Kong Sim, menganggap sambutan 50 tahun itu sebagai detik penting yang menggabungkan sejarah panjang syarikat dengan visi masa hadapan.
“LSK dapat bertahan kerana kekuatan produk yang konsisten, sokongan pengguna dan juga kerjasama rakan strategik seperti Cuckoo International yang membantu memperluas pasaran serta segmen pelanggan,” katanya.
Menurutnya lagi, kemunculan Diana Danielle dan Amber Chia memeriahkan suasana serta memberi pengalaman berbeza kepada pelanggan setia dan pengunjung pusat membeli-belah yang hadir meraikan ulang tahun tersebut.
Sepanjang lima dekad, LSK meraih beberapa pencapaian besar termasuk penyenaraian di Bursa Malaysia, pelbagai pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records serta pensijilan Global Organic Latex Standard untuk produk lateks organik. Peralihan kepada model jualan terus kepada pengguna (D2C) dalam beberapa tahun kebelakangan ini turut mengubah pendekatan syarikat dalam pemasaran serta layanan pelanggan ke arah lebih moden dan efisien.






