JOHOR BAHRU – Seorang wanita hamil yang parah dipukul suami hingga kisahnya tular dalam kejadian di Larkin di sini tiga tahun lalu, kini masih lagi terlantar akibat koma dan anaknya pula yang sudah lahir disahkan orang kelainan upaya (OKU).
Menurut adik mangsa, Fauziah Nordin, 43, keadaan kakaknya, Jahidah, 46, yang merupakan bekas kakitangan jabatan kerajaan yang didakwa dipukul suaminya, masih lagi terlantar atas katil dan tidak mampu menguruskan dirinya.
Fauziah berkata, Jahidah memerlukan penjagaan rapi sentiasa kerana masih tidak mampu bergerak, memberi sebarang reaksi atau pun bercakap dengan orang lain.
“Keadaan kakak (Jahidah) masih sama, hanya terbaring atas katil, hanya boleh diberikan susu menerusi tiub dan perlu diuruskan keluarga sepenuhnya.
“Kakak juga perlu dibawa ke hospital dengan ambulans bagi menjalani pemeriksaan kesihatan berkala yang kini ditetapkan setahun sekali.
“Anak tunggal kakak, Eshan Nufail, yang kini berusia tiga tahun disahkan sebagai OKU kerana pertumbuhan yang perlahan termasuk masih tidak boleh bercakap serta berjalan selain memiliki berat hanya 9.5 kilogram.
“Eshan juga perlu menjalani rawatan fisioterapi berikutan keadaannya itu selain dia memerlukan perhatian rapi dari kami sekeluarga,” katanya yang tiba dari Nilai, Negeri Sembilan, semalam bagi mengikuti prosiding keputusan membabitkan bekas abang iparnya di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Hari ini, media melaporkan keputusan kes peniaga yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin@Sylvester sehingga koma tiga tahun lalu ditangguhkan ke 9 Disember ini, selepas tertuduh tidak hadir ke mahkamah.
Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan itu selepas peguam tertuduh, Mohd Salleh Togimin, memaklumkan anak guamnya, Rosmaini Abd Raof, 41, dimasukkan ke Hospital Pendang, akibat sesak nafas, petang semalam.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen, di sini dilaporkan memerintahkan Rosmaini yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya itu sehingga koma untuk membela dirinya.
Terdahulu, keluarga Jahidah membabitkan dua adiknya, Fauziah dan Mujahid Nordin, hadir seawal pukul 8.30 pagi di pekarangan mahkamah bagi mengikuti keputusan kes berkenaan.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini, dilaporkan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, itu.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isteri ketiga, Jahidah, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan isterinya itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira pukul 6 pagi, 4 Mei 2021.
Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.
Kes Jahidah itu menggemparkan negara berikutan wanita berkenaan dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma.
Jahidah kemudian dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, di Seremban, Negeri Sembilan, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.
Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban dilaporkan membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023.- MalaysiaGazette