Pelakon Adam Lee tetap berlapang dada dan berbangga dengan dirinya meskipun tewas kepada aktor serta pempengaruh, Alif Muhaimin dalam perlawanan Fury Redemption yang berlangsung pada Ahad lalu.
Adam atau nama sebenarnya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 31, berkata kecederaan yang dialaminya tidak serius dan menganggap perlawanan tersebut sebagai satu pengalaman berharga yang menguji kekuatan fizikal dan mental.
“Hidung saya tak patah, cuma bawah kening koyak kena siku dengan Alif. Terpaksa dijahit tujuh jahitan. Bagi saya, it’s a good fight. Saya akui tewas dari segi stamina. Stamina Alif memang luar biasa,” katanya.
Menurut Adam, dia menghormati Alif kerana kedua-dua perlawanan yang dilalui memberikan kepuasan tersendiri buat dirinya.
“Saya respect dia sebab kedua-dua fight itu memang puas hati. Tak kisah pun kalau ada yang kecam,” ujarnya.
Dalam masa sama, Adam berharap pertembungan mereka di gelanggang tinju itu bukan sekadar hiburan semata-mata, malah mampu membuka peluang rezeki lain dalam dunia seni.
“Harapnya saya dan Alif dapat buktikan sesuatu. Mana tahu ada rezeki untuk kami berlakon dalam cerita aksi selepas ini,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di TikTok.
@adamleeofficial Alhamdulillah , moga ada rezeki kita lepas ni 🤝🏼 @Alif Muhaimin






