Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesahkan status pernikahan pasangan selebriti, Ahmad Kamal Ahmad Adli atau Kamal Adli, 39, dan Nik Zaris Uqasha Nik Sen (Uqasha Senrose), 33, adalah sah dan mengikut hukum syarak.
JAIP dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan Rekod Pendaftaran Nikah Negeri Pahang, pasangan itu dinikahkan pada 4 November 2021 jam 9.30 malam di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong.
“Majlis akad nikah dijalankan dengan persetujuan dan kehadiran wali mujbir pengantin perempuan, iaitu bapa kandungnya, Nik Sen Mat Ripin.
“Bapa pengantin perempuan mewakilkan (wakalah wali) kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Kawasan Bentong 1 untuk menjalankan akad nikah itu,” katanya.
JAIP sahkan Kamal Adli, Uqasha Senrose bernikah ikut syarak
Menurut JAIP, majlis pernikahan berkenaan turut dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa ketika itu berikutan wabak COVID-19.
“Jabatan ini memperakukan bahawa akad nikah yang berlangsung memenuhi semua rukun nikah dan sah dari sudut hukum syarak,”jelasnya.
Pengesahan JAIP sekali gus meredakan spekulasi mengenai status perkahwinan pasangan itu yang kini dikatakan berdepan kemelut rumah tangga.
Artikel lain: “Adakah sah perkahwinan ini tanpa pengetahuan bakal isteri?” -Uqasha Senrose
Terdahulu, Uqasha menerusi hantaran di Instagram mendakwa dirinya diperbodohkan oleh Kamal dan keluarga selepas mendakwa tarikh pernikahan pada sijil berbeza dengan hari sebenar mereka dinikahkan.
Pelakon wanita itu mendakwa dia dinikahkan pada 5 November 2021 jam 9 pagi, namun tarikh pada sijil pernikahan menunjukkan 4 November 2021 jam 9.30 malam. Bagaimanapun, hantaran berkenaan kini telah dipadam.
Semalam, prosiding sebutan pertama kes perceraian Kamal dan Uqasha di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan dilaporkan ditangguhkan ke 28 Oktober ini selepas Kamal tidak hadir kerana terikat dengan jadual penggambaran.
Peguam syarie yang mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd Manaf, berkata anak guamnya hadir seawal jam 9 pagi, namun prosiding tidak dapat diteruskan susulan ketidakhadiran defendan.
Sumber: Harian Metro (Serimah Mohd Sallehuddin)