JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (Jakim) melalui Bahagian Pengurusan Halal memperkukuhkan jaringan halal antarabangsa selepas menyertai The Food Taipei Mega Shows 2025 di Nangang Exhibition Centre, Taipei, Taiwan baru-baru ini.
Menurut kenyataan Jakim, ia hasil jemputan Total Quality Food Association (TQF) dan dilaksanakan bersama rakan strategik halal Jakim iaitu RUBIX.
“Acara perdagangan berskala mega ini menghimpunkan lebih 4,500 pempamer dari dalam dan luar negara, meliputi segmen industri makanan, teknologi pemprosesan makanan serta pameran berprofil tinggi dari sektor biology/pharmatechnology.
“Penganjuran acara ini dikendalikan oleh Taiwan External Trade Development Council (TAITRA) sebagai satu platform strategik untuk memacu perdagangan makanan ke peringkat global,” katanya.
Penyertaan Jakim dalam pameran ini merupakan inisiatif penting dalam usaha memperkenalkan Sistem Pensijilan Halal Malaysia (SPHM) kepada pemain industri antarabangsa, khususnya dari rantau Asia Timur.
“Sepanjang lima hari pameran berlangsung, reruai Jakim menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pelawat profesional, pengeluar makanan, serta pengusaha industri biofarmaseutikal yang menunjukkan minat terhadap pensijilan halal Malaysia.
“Beberapa usahawan dari Taiwan turut menyatakan hasrat untuk memohon pensijilan halal Malaysia sebagai sebahagian daripada strategi untuk menembusi pasaran negara-negara Islam,” katanya.
Tambahnya lagi, kehadiran Jakim dalam pameran berprestij ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam bidang pensijilan halal, malah membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam mempromosi produk dan perkhidmatan halal Malaysia di pentas antarabangsa.